MALAYSIA - INDONESIA BINCANG ISU GAJI AMAH MINGGU DEPAN
KUALA LUMPUR: Kumpulan kerja bersama Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan pada 15 dan 16 Okt ini di Jakarta untuk mencari penyelesaian kepada isu pembantu rumah dari republik itu.
Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayinto berkata antara isu yang bakal dibincangkan adalah permintaan Indonesia terhadap gaji lebih tinggi bagi rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
"Ya, kita akan membincangkan tentang isu gaji lebih baik. Mesyuarat kumpulan kerja ini juga akan memfokus kepada mekanisme penghantaran pembantu rumah serta kebajikan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di sini," katanya dalam sidang akhbar pada Mesyuarat Komuniti Sosio-Budaya ASEAN ke-14 di sini, hari ini.
Pada Mei lepas, Indonesia menghantar memorandum kepada kerajaan Malaysia untuk meminta supaya gaji minimum pembantu rumah Indonesia di Malaysia dinaikkan daripada RM700 kepada RM1,200 sebulan.
Kerajaan Indonesia berpendapat cadangan itu akan menjadikan perkhidmatan domestik di Malaysia lebih kompetitif dan mampu bersaing dengan gaji yang ditawarkan oleh negara-negara lain.
Mereka juga memberi justifikasi bahawa gaji yang lebih baik dapat membendung masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin.
Bagaimanapun, usul itu dibantah oleh kebanyakan masyarakat di negara ini. - BERNAMA
Comments
Post a Comment