Followers

PENGANUT SYIAH BERDEPAN TINDAKAN TEGAS : JAIS


SHAH ALAM:  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa di negeri itu yang terlibat dengan fahaman Syiah kerana ia terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.


Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Okt 2013 bahawa fahaman berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mana-mana individu yang didapati mengamalkan ajaran dan fahaman Syiah boleh diambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau hukuman penjara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JAIS akan terus memantau kegiatan penganut fahaman itu menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama pada sambutan Hari Karbala, acara yang disambut setiap tahun oleh penganut Syiah pada 10 Muharam.

Mengulas lanjut, Haris berkata fahaman syiah diharamkan kerana ajarannya menyeleweng, menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar serta boleh menimbulkan bahaya dan perpecahan kepada umat Islam.

Menurut Haris, terdapat 22 elemen yang dikenal pasti terkandung dalam fahaman Syiah dan telah diwartakan menyeleweng oleh jawatankuasa berkenaan.

Antaranya ialah mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Aksari sebagai Imam Mahdi bersama kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan; mempercayai hanya Saidina Ali sahaja yang menghimpun Al-Quran dengan sempurna dan menyamakan taraf Saidina Ali dengan Allah.

Haris menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penganut Syiah segera membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian 1800-88-2424 untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment