ASEAN3 TAWAR BANTUAN UNTUK PANTAU JENAYAH RENTAS SEMPADAN : NUR JAZLAN


KUALA LUMPUR:  Negara-negara ASEAN Campur 3 menawarkan teknologi canggih mereka untuk membantu pemantauan dan risikan di 10 negara anggota ASEAN dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini.


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata perkara itu dinyatakan oleh wakil dari ketiga-tiga negara berkenaan iaitu China, Jepun dan Korea Selatan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-7 Konsultasi Campur 3 di sini, Rabu.

"Mereka juga tawarkan bantuan untuk melatih dan bertukar maklumat melalui teknologi itu bagi memastikan keberkesanan dalam mengesan dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dua jam itu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai penyertaan ketiga-tiga rakan dialog ASEAN itu dalam agenda bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Terdahulu, Nur Jazlan mempengerusikan sesi Konsultasi AMMTC + China Keempat dan menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Chen Zhimin.

Nur Jazlan berkata isu-isu lain yang dibincangkan pada mesyuarat tertutup itu ialah pentingnya meningkatkan dan menyeragamkan mekanisme undang-undang yang diguna pakai oleh negara-negara anggota ASEAN dan Campur Tiga.

Semasa menegaskan perkara itu, beliau menarik perhatian kepada beberapa kes yang penjenayahnya ditahan bukan di negara asal pelaku jenayah itu tetapi di negara-negara lain ASEAN.

Oleh itu, katanya semua negara berkenaan perlu memastikan adanya jalinan kerjasama yang lebih baik sesama mereka dalam usaha melaksanakan keadilan.

"Kami juga membincangkan mengenai peningkatan kerjasama (di kalangan negara anggota dan Rakan Dialog), berkongsi maklumat, penggunaan teknologi dan meningkatkan penguatkuasaan bersama antara negara-negara terlibat.

"Ini kerana setiap negara mempunyai undang-undang berbeza terutamanya dalam isu jenayah rentas sempadan,"jelasnya.  

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengingatkan orang ramai dan media bahawa beberapa butiran mengenai jenayah rentas sempadan tidak harus dihebahkan demi menjaga kerahsiaan siasatan.

Beliau berkata dalam usaha menangkap mereka yang terlibat dalam aktiviti seperti keganasan, pihak media diminta mengurangkan liputan terhadap beberapa butiran mengenai perkara itu.

"... kita mahu benar-benar memusnahkan rangkaian pengganas atau mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan...kita mahu menangkap mereka yang menjadi dalang semua ini," katanya sambil menjelaskan bahawa bagi beberapa kes berprofil tinggi, kurangnya liputan media adalah lebih baik.

Nur Jazlan berkata tidak ada gunanya jika semua maklumat mengenai langkah-langkah untuk menangkap mereka yang terlibat dalam rangkaian itu dilaporkan secara besar-besaran.

Menurutnya satu lagi isu utama yang dibincangkan secara mendalam pada sesi itu ialah kebimbangan mengenai bahaya yang dicetuskan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) di rantau ini dan di negara-negara Campur Tiga.

"Kesan IS kepada rakyat di rantau ASEAN dan negara-negara Rakan Dialog turut diketengahkan... apa yang kami mahu lakukan ialah mengatasi sebarang kekurangan dan kelemahan dalam sistem, sama ada dalam langkah-langkah imigresen atau dasar.

"Ini pada dasarnya bertujuan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam aktiviti IS agar mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun mereka kembali ke rantau ini," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts