PRK SG LIMAU: TPM BERJAYA MELANGKAH 'KAWASAN HITAM'


Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Sungai Limau, kali kedua selepas penamaan calon 23 Oktober lalu, dan kali ini dengan satu misi khas... operasi pemutihan.

Program TPM di Sungai Limau pada Sabtu memang difokuskan untuk mendekati golongan agama, guru dan pegetua sekolah-sekolah pondok yang selama ini ketahui penyokong kuat PAS.

Program pertamanya dengan warga pendidik di SMK Sangai Limau, kemudian program ramah mesra dengan imam dan guru-guru pondok ,guru-guru KAFA dan penduduk Sungai Dedap.

Solat Zohor di Masjid Sungai Dedap, kemudian melawat Maahad Tahfiz As-Syatirie, hadir di Majlis Himpunan Peladang dan akhir sekali,  solat asar bersama Pengetua dan Guru Sekolah Menengah Agama Nahdzah atau nama yang lebih terkenal Pondok Bukit Besar.

Sejak sekian lama di Sungai Limau dan sekitarnya, kekuatan utama PAS adalah dikalangan golongan yang cenderong kepada agama. Mereka yang belajar di sekolah-sekolah agama persendirian dan berkerja kampung, samada 'buat bendang' atau jadi nelayan.

Dalam kata lain, tidak bergantung kepada kerajaan.



Dua sekolah agama rakyat yang terkenal di Kedah terletak di Sungai Limau. Kedua-duanya dibangunkan oleh pengasas masing-masing sebelum merdeka lagi. Bekas pelajarnya puluhan ribu, Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya.

Kalau ikut bekas pemimpin UMNO yang berasal dari Yan, Tan Sri Sanusi Junid, kekuatan PAS terletak pada 'pondok dan padi'.

Beliau bercakap dari pengalamannya, sebab sejak zaman berzaman, setiap kali PRU mahupun PRK di Kedah, tak pernah berlaku pembesar BN boleh masuk ke kawasan sekolah pondok.

Sebab itu di Bukit Besar semalam ramai yang terkejut apabila Muhyiddin boleh masuk Pondok Bukit Besar dengan disambut oleh pengetuanya Ustaz Nasir Othman dan orang kanannya.

Jangan kata orang PAS kawasan Sungai Limau nak percaya, orang BN pun terkejut, sampai ada yang bertanya... "macam mana boleh masuk...?"

Umum tahu Pondok Bukit Besar adalah kubu terkuat PAS, anak allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak antara pelajar sekolah tersebut.

Bahkan calon PAS bagi PRK Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat merupakan Penolong Kanan Ko-Kurikulum Pondok Bukit Besar atau nama lainnya Sekolah Menengah Agama Nahdzah.

Beliau meletakkan jawatan untuk bertanding dalam PRK kali ini.


"Empat sekolah pondok yang dulu tak pernah tembus, kita masuk kali ini," kata Setiausaha Politik TPM Datuk Mohd Nardin Awang kepada Agendadaily semasa berbual selepas solat asar di Pondok Bukit Besar.
Menjadi imam solat tersebut adalah Ustaz Nasir Othman manakala makmumnya adalah Muhyiddin, bersama Menteri Besar Kedah Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dan Menteri HAl Ehwal agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ustaz Nasir dalam ucapannya dalam surau lepas sembayang asar berkata beliau berbangga kerana inilah kali pertama pembesar nombor dua negara menjejakkan kaki ke sekolahnya.

Sentimen beliau dikongsi dengan guru-guru lain di sekolah tersebut.

TPM sendiri jelas memberikan keutamaan untuk majlis tersebut, sungguhpun majlis itu tidak besar dari segi bilangan hadirin, namun yang hadir semua bukan calang-calang orang.

'Tok pangkal' orang kata, kalau dia kalih, habis semua pengikutnya kalih. Tapi objektif lawatan Tan Sri Muhyiddin bukanlah untuk kalih penyokong-penyokong tegar PAS ini kepada BN serta merta.

Agendadaily difahamkan cukuplah jika 'tok-tok pangkal' ini berada dalam posisi 'nuetral', ia merupakan satu kejayaan kepada BN.

Dalam ucapan ringkasnya Muhyiddin mengumumkan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pembinaan asrama dan dewan sekolah tersebut.

Katanya, di Kedah amat istimewa di mana di DUN Sungai Limau sahaja terdapat banyak sekolah-sekolah pondok.

"Ini semua dibangunkan dengan kegigihan pimpinan Islam," ujarnya.

Menurut Muhyiddin, sudah menjadi dasar kerajaan, bantuan diberikan kepada semua sekolah agama tanpa mengira warga sekolah itu penyokong BN atau PAS.

"Soal utama sekarang adalah pembangunan Islam itu sendiri. Waktu saya nak beri bantuan, ada yang tegur, yang terima bantuan itu adalah orang PAS, bukan orang UMNO. Saya cakap tidak apa. Mungkin nanti Allah SWT buka hati mereka menyokong kita..."katanya.

Menyentuh mengenai bantuan untuk sekolah agama rakyat di Kedah, Muhyiddin berkata semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS, Kerajaan Pusat tetap memberikan bantuan kepada sekolah agama rakyat di kawasan DUN Sungai Limau.

Kini, lebih 7,000 pelajar di tujuh maahad tahfiz dan sekolah agama di kawasan itu diberikan bantuan makanan, yang melibatkan peruntukan lebih RM35 juta katanya.

"Ia masih diteruskan oleh kerajaan negeri, diletakkan di bawah Yayasan Darul Aman. Kita tidak pernah tanya status mereka, Umno ke PAS ke. Yang penting Islam," katanya.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengajak umat Islam dan ulama negara ini bersatu walaupun berbeza ideologi politik.

"Ada kata Umno dan PAS tak boleh bersatu. Saya kata UMNO bersedia sampai bila-bila nak bersatu. Sebab itu semasa Tan Sri Azizan (bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak) meninggal dunia kita beri penghormatan kepada dia," katanya.

"Sebagai orang Islam tidak ada masalah bagi kita. Biar berbeza pandangan dan idelogi politik tetapi Islam kita tidak berbeza. Apa yang beza antara UMNO dan PAS, cuma dia pakai hijau, kita pakai biru," kata Muhyiddin.

Sepanjang 'operasi pemutihan' Muhyiddin pada Sabtu, beliau sentiasa diiringi oleh Mukhriz dan Jamil Khir.
Agendadaily difahamkan dalam lawatan seterusnya TPM ke Sungai Limau, beliau akan melawat kampung 'paling hitam' iaitu Bukit Charos.

Tumpuan dan program beliau pada 29 Oktober ini adalah di situ, PDM yang menyaksikan pada PRU lalu, BN hanya mendapat 81 undi manakala PAS 461.

Kekalahan paling teruk di peringkat PDM kepada BN selepas PDM Bukit Besar.

Sehingga malam Sabtu, difahamkan mood dan indikasi-indikasi penting setiap kemenangan dalam PRK memihak kepada BN.

Pembangkang dikatakan hanya bergantung kepada sokongan lama dan tidak keluar mencari sokongan baru. Kempen-kempen mereka terhenti di sekitar sidang media harian di Markaz PRK PAS Sungai Limau serta program-program ceramah.

Nampaknya pemilihan PAS November ini sedikit sebanyak melesukan kempen pembangkang di sungai Limau.

Namun berbekalkan simpanan tetap mereka selama ini di Sungai Limau, PAS masih di depan, jentara BN kena kerja kuat lagi, jika hendak mencapai kemenangan pada 4 November nanti

Sumber: agendadaily dot com

Comments

Popular Posts