MANIFESTO PAKATAN RAKYAT IBARAT 'SAMPAH' : ZAHID HAMIDI


KUALA LUMPUR:  Manifesto Pakatan Rakyat dilabelkan sebagai 'sampah' dan 'tidak berpijak di bumi yang nyata' oleh  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Zahid juga menegaskan hanya 15 peratus janji manifesto Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) ditunaikan sepanjang penggal lepas.


"Ia tidak dapat dilaksanakan. Hanya kira-kira 15 peratus yang telah dilontarkan pada pilihan raya umum 2008 sehingga pilihan raya 2013.


"Ertinya, dengan izin, manifesto rubbish. Jadi dalam perkara ini, janganlah buat janji baru.


"Apa yang penting buat manifesto berdasarkan realiti. Dan apa yang dilakukan oleh kerajaan dapat memuaskan hati semua pihak termasuk pihak kerajaan dan pembangkang, yang penting rakyat," kata Ahmad Zahid semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.


Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) berhubung manifesto Pakatan yang mahu mengurangkan satu juta pekerja asing di pelbagai sektor dan mewujudkan satu juta pekerjaan kepada rakyat Malaysia.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata lebih 85 peratus janji dalam manifesto pilihan raya PR tidak pernah dilaksanakan hingga kini.


"85 peratus manifesto mereka tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu saya kata mereka berjanji tidak berpijak di bumi yang nyata," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan kad pengenalan biometrik dengan menandakan mengikut lima sektor pekerjaan yang dipersetujui oleh kerajaan.


"Kerajaan juga mengenakan levi berdasarkan sektor dan jika pekerja asing ini bertukar sektor pekerjaan, dendanya AS$10,000. Justeru, kita berharap ia akan dapat dipatuhi oleh majikan.


"Saya tidak mahu perniagaan hamba abdi seolah-olah berlaku di negara kita," katanya.


Mengenai jumlah pekerja asing di negara ini, Ahmad Zahid berkata terdapat 2.11 juta pekerja asing dengan Indonesia mencatatkan jumlah pekerja asing paling ramai dengan 935,000 orang diikuti, Nepal 359,000 orang, Bangladesh 319,000 orang, Myanmar 174,000 orang dan India 117,000 orang.


"Semua permohonan pekerja asing perlu ada 'sijil job clearing system' daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).


"Majikan wajib memohon kepada JTK untuk mendapat sokongan, sekiranya siling atau had pengambilan masih belum dicapai ia akan dibenarkan dan begitulah jika sebaliknya," katanya.


Menurutnya, agensi kawal selia berdasarkan sektor masing-masing berdasarkan unjuran keperluan lima sektor, iaitu perladangan, pembinaan, perkhidmatan, pembantu rumah dan perkilangan yang ditetapkan.


"Setiap sektor mempunyai kuota yang ditetapkan ini bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini dan hanya pekerja asing yang berumur 18-45 tahun sahaja yang dibenarkan bekerja di Malaysia.


"Di bawah umur atau melebihi had umur adalah tidak dibenarkan. Tempoh maksimum bagi mereka untuk bekerja di negara ini adalah selama 10 tahun sahaja," katanya. - Astro Awani

Comments

Popular Posts