PEMIMPIN EKONOMI APWC SETUJU TINGKAY PERDAGANGAN SESAMA NEGARA ANGGOTA
NUSA DUA (BALI): Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2013 berakhir hari ini dengan para pemimpin bersetuju terhadap tujuh perkara strategik, termasuk meningkatkan perdagangan antara anggota Apec atau sesama rantau melalui kemudahan perdagangan, pembinaan kapasiti dan adanya sistem perdagangan pelbagai hala.
Dalam hal ini, para pemimpin ekonomi Apec bersetuju dengan deklarasi yang menyokong sistem perdagangan pelbagai hala. Mereka juga bersepakat untuk memastikan kejayaan Persidangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) Peringkat Menteri Kesembilan di Bali pada Disember ini.
Hasil sidang kemuncak Apec ke-21 itu yang bertemakan 'Daya Tahan Asia Pasifik, Enjin Pertumbuhan Global', diumumkan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Para pemimpin juga bersetuju untuk menggandakan usaha bagi mencapai Matlamat Bogor pada 2020, untuk mempercepatkan perhubungan antara rakyat, institusi dan fizikal Apec, yang akan membantu mengurangkan kos pengangkutan dan pengeluaran serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Mereka mengesahkan semula komitmen mereka untuk mencapai pertumbuhan global yang terangkum dan mampan, seimbang dan kukuh dengan antara lain meningkatkan penyertaan perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan muda dan wanita.
Para pemimpin turut sepakat untuk bekerjasama dalam meningkatkan jaminan air, makanan dan tenaga serantau, satu usaha yang menangani cabaran pertumbuhan penduduk dan kesan perubahan iklim.
Mereka juga bersetuju untuk memastikan sinergi Apec dan melengkapi proses serantau dan pelbagai hala yang lain seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan G20, dan akur bahawa kerjasama rapat dengan sektor perniagaan melalui Abac penting untuk mencapai matlamat pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata persidangan Apec ke-21 pada umumnya berjaya memperkukuhkan lagi komitmen negara-negara Apec terhadap perdagangan dan pelaburan serta usaha mencapai matlamat Apec khususnya Matlamat Bogor yang telah ditetapkan.
"Dengan komitmen kepada liberalisasi daripada segi perdagangan, mengurangkan tarif, menambahkan keberkesanan menjalankan perniagaan, komitmen dari segi perhubungan dan sebagainya, akan mewujudkan suasana ke arah penambahan perdagangan dan pelaburan di seluruh kawasan Apec," kata beliau.
Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan tiga hari ke sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Apec 2013 serta Mesyuarat Para Pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang berlangsung selepas tamat sidang kemuncak Apec di sini.
Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas dengan pesawat khas ke Brunei untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS). - BERNAMA
Comments
Post a Comment