PENDEKATAN SEDERHANA NAJIB TERHADAP PELAMPAU DIPUJI

LONDON:  Perdana Menteri United Kingdom David Cameron memuji Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan gerakan kesederhanaan terhadap ekstremisme.


Beliau berkata inisiatif Najib berjaya memberi inspirasi dan menyatukan masyarakat di seluruh dunia.


"(Perdana Menteri) Najib, pemimpin yang dipilih semula, telah merintis Gerakan kesederhanaan global (GMM) dalam menyatukan dan memberi inspirasi kepada rakyat di seluruh dunia untuk memerangi ekstremisme," katanya dalam ucapan khasnya pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kesembilan di sini pada Selasa.


Pada 2010, Najib menggesa penganut dan pemimpin agama utama dunia supaya menolak dan menentang ekstremis mereka sendiri dan menyertai gerakan GMM.


Konsep itu diperjelaskan lagi oleh Perdana Menteri pada platform berprestij termasuk Pusat Oxford bagi Kajian Islam, East-West Center, Mesyuarat Asia-Eropah selain Sidang Kemuncak Asean.


Pada Persidangan Antarabangsa GMM pertama di Kuala Lumpur pada awal 2012, Najib menggesa penubuhkan Yayasan GMM.


Ia berperanan sebagai pusat pertama dalam menyebarkan maklumat mengenai konsep kesederhanaan dalam menangani ekstremisme dalam lima bidang termasuk kewujudan bersama secara aman, demokrasi dan peraturan undang-undang, kewangan, pendidikan dan penyelesaian konflik.


Dalam perkembangan lain, Cameron turut memuji komitmen Najib terhadap perniagaan bersama Britain dengan menyediakan pelaburan baharu berjuta pound dan beratus pekerjaan baharu di sini dan Kuala Lumpur.


"Dalam beberapa tahun akan datang, saya berharap kami dapat melihat berbilion pound pelaburan baharu dalam pelbagai sektor di mana United Kingdom cemelang dalam hartanah dan perumahan sehingga kepada aeroangkasa dan sains hayat," katanya.


Selain Cameron, lebih 16 ketua kerajaan atau ketua negara hadir pada perhimpunan terbesar pemimpin dalam sejarah WIEF, yang pertama kali diadakan di luar negara Islam.


Najib dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Cameron selama sejam hari ini di No 10, Downing Street, bagi menroka lebih banyak kemungkinan untuk kedua-dua negara mengembangkan dagangan dua hala kepada lapan bilion pound menjelang 2016.


Perdana Menteri akan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong dan beberapa pegawai kanan kerajaan.


Sementara itu, Putera Mahkota Bahrain Putera Salman Hamad Al-Khalifa juga memuji ucapan Najib yang menyentuh mengenai pengukuhan potensi ekonomi menerusi pemerkasaan wanita.


"Walaupun ia tiada kaitan dengan tajuk yang akan saya ucapkan nanti, saya yakin asas masyarakat demokratik ialah isi rumah yang demokratik, pengupayaan dan persekitaran yang produktif untuk semua gender.


"Terima kasih tuan kerana anda sangat berani dan sangat tepat," katanya yang disambut gelak ketawa peserta forum. - BERNAMA

Comments

Popular Posts