#BAJET 2014: KEKANG KENAIKAN HARGA BARANG


Kerajaan melaksana penyelesaian bersifat menyeluruh membabitkan syarikat dan pembeli bagi mengekang kenaikan ketara harga rumah serta kegiatan spekulasi keterlaluan. 


Antara langkah itu ialah mengkaji semula Cukai Keuntungan Harga Tanah (CKHT) berpandukan tempoh pegangan hartanah. 


Bagi pelupusan hartanah yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, kadar CKHT bagi syarikat, warga dan penduduk tetap dinaikkan daripada 20 peratus kepada 30 peratus. 


Pelupusan dalam tempoh empat hingga lima tahun, kadarnya masing-masing dinaikkan kepada 20 dan 15 peratus. 


Bagi warga Malaysia dan penduduk tetap, pelupusan dalam tempoh enam tahun dan berikutnya, tidak dikenakan CKHT manakala bagi syarikat tetap dikenakan cukai lima peratus. 


Bagi warga asing, CKHT yang dikenakan adalah 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima tahun, manakala tahun keenam dan seterusnya sebanyak lima peratus. 


Kerajaan juga menaikkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 juta. 


Malah, pemaju perlu mempamerkan perincian harga jualan, termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti setem pada perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma, sekali gus menjamin ketelusan pembelian. 


Di samping itu, pemaju dilarang melaksanakan projek berciri Skim Tanggungan Faedah oleh Pemaju (DIBS) untuk mengelak pembeli menanggung kaedah pinjaman pembelian ketika tempoh pembinaan dalam harga rumah. 


Justeru, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek yang terbabit dengan skim DIBS. - BH

Comments

Popular Posts