MALAYSIA BUKAN 'PAK TURUT' DALAM TPPA: NAJIB

NUSA DUA (BALI):  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Malaysia bukan 'Pak Turut' dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), satu inisiatif bagi mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di seluruh rantau Asia Pasifik, demi menjaga kepentingan negara.

Sebaliknya beliau berkata Malaysia telah menyatakan pendiriannya dengan tegas untuk melakukan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian berkenaan kepada kabinet, rakyat Malaysia serta perbahasan di Parlimen, sebelum membuat keputusan.

"Kita tak jadi 'Pak Turut' sama sekali, itu tidak benar," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri mesyuarat para pemimpin TPP, di sini hari ini.

"Kita masuk dengan kerelaan hati kerana kita merupakan sebuah negara perdagangan, antara yang terbesar di dunia, sebab itu kita ada kepentingan untuk masuk sebagai rakan TPPA dan berpeluang menentukan kerangka FTA yang baharu di dunia."

Najib berkata Malaysia tidak akan dapat memberi input dan pandangan bagi mencorakkan perdagangan bebas dunia jika negara tidak terlibat dalam rundingan itu.

Perdana Menteri berkata mesyuarat TPPA telah menerima pendirian Malaysia bahawa perjanjian ini akan melalui proses dalaman yang melibatkan penerangan kepada kabinet, rakyat Malaysia serta perbahasan di Parlimen.

Beliau berkata proses tersebut diambil memandangkan perjanjian ini menyentuh perkara tertentu dan berkaitan soal kedaulatan negara, termasuk hak untuk menentukan dasar-dasar tempatan -- harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh.

"Saya nampak mereka faham mengenai apa dan kenapa Malaysia menyatakan pendirian tersebut, walaupun kebanyakan mereka itu berkehendakkan perjanjian ini dimuktamadkan secepat mungkin supaya momentumnya tidak tersekat, memandangkan mereka tidak ada cabaran dan sensitiviti seperti dalam konteks Malaysia," kata Perdana Menteri.

Najib berkata penglibatan Malaysia dalam TPPA akan diteruskan sehingga teks akhir perjanjian lengkap, dan kerajaan akan menimbangkannya berasaskan sokongan rakyat, sama ada menerima atau tidak perjanjian ini.

Dalam pertemuan bersama 12 negara yang terlibat dalam TPPA itu, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Malaysia tidak ada masalah dalam aspek perdagangan dan pelaburan kerana mempunyai rekod cemerlang sebagai ekonomi yang terbuka dan menjadi destinasi pelaburan yang disenangi pelabur.

Berhubung perenggan ketiga Penyataan Pemimpin TPP yang menyebut: "Kami bersetuju bahawa rundingan kini diteruskan bagi menyelesaikan semua isu tertangguh dengan objektif memuktamadkannya tahun ini...," Najib berkata ia merupakan objektif yang tidak boleh atau tidak semestinya boleh dicapai.

"Apa yang kita maksudkan ialah kita akan berusaha, tetapi kalau ada isu-isu tertentu yang penting dari segi 'substance' yang tidak dapat diputuskan dalam tempoh masa tersebut, maka ia akan dilanjutkan selepas akhir tahun ini," katanya.

Rundingan TPPA melibatkan 12 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan  Vietnam.

Ia mewakili pasaran besar dengan seramai 800 juta penduduk, dengan gabungan keluaran negara kasar sebanyak US$27.5 trilion.

Rundingan pertama TPPA bermula pada Mac 2010 di Melbourne, dan sehingga ini 19 rundingan sudah dimuktamadkan. Malaysia menyertai sebagai anggota perunding penuh pada rundingan pusingan ketiga yang berlangsung di Brunei dari 5 hingga 8 Okt, 2010. - BERNAMA

Comments

Popular Posts