MUKHRIZ ENGGAN SELESA BIARPUN DAPAT SOKONGAN MENGGALAKKAN
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir enggan berasa selesa biarpun mendapat sokongan menggalakkan daripada perwakilan parti untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bulan ini.
Pengerusi UMNO Kedah itu berkata beliau masih berhati-hati dan perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan dan menterjemahkan sokongan itu dalam bentuk undi.
"Saya ingat pada pemilihan lepas (ketua pemuda) saya juga mendapat sambutan seperti itu namun akhirnya saya kecundang," katanya kepada pemberita selepas sesi pengenalan calon anggota Majlis Tertinggi di sini hari Ahad.
Mengulas berhubung dakwaan wujud arahan kekalkan tiga naib presiden, Mukhriz berkata: "Kali ini 146,500 perwakilan akan undi, sudah pasti kita tidak boleh mengawal mereka atau arah pilih tokoh-tokoh tertentu, mereka akan menilai calon dengan cara sendiri, harap mereka ikut suara hati," katanya.
Sementara itu bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut bertanding merebut jawatan naib presiden UMNO menyifatkan semua calon mempunyai peluang termasuk dirinya.
"Saya lihat semua ada peluang, saya pun mungkin ada peluang...mungkin boleh masuk satu dari tiga tempat yang dipertandingkan," katanya. - BERNAMA
Comments
Post a Comment