PETRONAS, PELABUR FDI TERBESAR DI KANADA: NAJIB


PUTRAJAYA:  Syarikat minyak negara, Petronas, muncul sebagai pelabur langsung asing terbesar di Kanada berikutan pelaburannya yang bernilai C$36 bilion baru-baru ini dalam industri gas asli cecair (LNG) Kanada.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa Petronas akan membangunkan loji LNG di Kanada dengan fasiliti huluan berkaitan termasuk saluran paip untuk projek itu.

"Asas hubungan Malaysia dan Kanada selama ini adalah dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Kami gembira dengan kelulusan oleh kerajaan Kanada bagi pelaburan awal Petronas sebanyak C$5 bilion dalam Progress Energy Canada Ltd yang merupakan pelaburan penting bagi kita di Kanada.

"Kita juga mempunyai beberapa syarikat penting Kanada yang beroperasi di Malaysia dan saya telah diberitahu oleh Perdana Menteri Kanada bahawa mereka menikmati pengalaman perniagaan yang positif di Malaysia," katanya kepada satu sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Kanada, Stephen Harper, di sini hari Ahad.

Najib berkata Malaysia menganggap Kanada sebagai rakan kongsi yang penting dalam pembangunan ekonomi negara dan hubungan ekonomi kedua-dua negara berjalan lancar dengan banyak perkembangan positif dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Malaysia juga berbesar hati untuk menjadi antara rakan dagangan terbesar Kana di Asean, dengan jumlah dagangan sebanyak US$1.87 bilion (RM5.78 bilion) pada 2012, dengan eksport meningkat 5.2 peratus kepada RM2.93 bilion sementara import naik 2.6 peratus kepada RM2.87 bilion.

Dalam satu mesyuarat tertutup sebelum itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju terus merancakkan kerjasama ekonomi untuk masa depan hubungan Malaysia-Kanada.

Najib berkata ia juga menandakan satu paras baharu dalam kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, iaitu dagangan, pelaburan, perkaitan sektor swasta, keselamatan, pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.

Kedua-dua negara bersetuju bahawa Asean dan Kanada patut meneroka bidang baharu untuk mengukuhkan dan mempelbagaikan hubungan.

Najib berkata Malaysia percaya hubungan antara Asean dan Kanada boleh diperkukuhkan menerusi hubungan yang lebih kukuh dalam bidang maritim, keselamatan, makanan, jaminan tenaga dan keterhubungan.

Perdana Menteri itu juga berkata kerajaan mengalu-alukan pengesahan terma rujukan untuk Program Peningkatan Kerjasama Asean Kanada. - BERNAMA

Comments

Popular Posts