KDN TUBUH BADAN TUNGGAL BANTERAS DADAH SECARA HOLISTIK


KUALA LUMPUR:  Sebuah badan tunggal bagi menyelaras isu pencegahan, pemulihan dan pembanterasan dadah dijangka ditubuhkan tahun depan.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini satu kertas kerja mengenai perkara itu sedang dirangka.


"Badan tunggal itu akan dianggotai oleh agensi bukan sahaja dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga melibatkan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan serta pelbagai badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha pembanterasan dadah.


"Penubuhan badan tunggal seperti yang telah ditubuhkan beberapa negara antaranya Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat itu adalah perlu bagi menyelaras dan memudahkan tugas pembanterasan dadah dari akar umbi," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas menutup Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini, Isnin.


Menjelas lanjut mengenai badan tunggal itu, Ahmad Zahid berkata dengan adanya JSJN di dalam badan tunggal itu, ia tidak bermaksud JSJN di hapuskan diperingkat kontinjen PDRM.


Beliau juga berkata dalam usaha membanteras pengedaran termasuk penagihan dadah di negara ini, Skuad Khas Delta telah ditubuhkan bagi menangani kes narkotik berat.


"Seramai 200 anggota sedang dipilih daripada kalangan mereka yang mempunyai prestasi baik dalam perkhidmatan polis.


"Mereka ini akan diberikan latihan lanjutan di dalam dan luar negara," katanya.


Sejak ditubuhkan Ogos lepas, skuad itu berjaya menumpaskan dua sindiket terbesar di negara ini melibatkan nilai rampasan dadah sebanyak RM30 juta dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara, katanya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts