#BAJET 2014 : FASA KEDUA PROJEK JALUR LEBAR DILAKSANAKAN


Kerajaan akan melaksanakan fasa kedua projek perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) dengan kerjasama swasta membabitkan kos pelaburan sebanyak RM1.8 bilion bagi meningkatkan lagi liputan internet di bandar utama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif berkenaan dijangka memberikan tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat di kawasan bandar yang merangkumi 2.8 juta isi rumah di seluruh negara untuk menikmati kelajuan internet sehingga 10 megabits (Mbps) sesaat. 


Katanya, jaringan HSBB juga akan diperluaskan dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara empat hingga 10 Mbps bagi kawasan pinggir bandar. 


"Kemudahan ini dijangka memanfaatkan lebih dua juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak RM1.6 bilion," katanya membentangkan Bajet 2014, di Dewan Rakyat, semalam.


 Selain itu, Najib berkata, sebanyak 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk meningkatkan lagi liputan internet di kawasan luar bandar. 


Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, katanya, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh tiga tahun membabitkan kos sebanyak RM850 juta.



Katanya, pelaburan itu akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). - BH

Comments

Popular Posts