PRK: PERTEMBUNGAN DUA PENDIDIKAN


SUNGAI LIMAU:  Secara rasminya tempoh berkempen 12 hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Limau akan bermula hari ini, di sebuah kawasan pendalaman yang majoritinya adalah masyarakat Melayu.

Dua musuh tradisi -yang juga ada pemimpin keduanya berusaha untuk menjalinkan kerjasama- UMNO dan PAS bertembung sekali lagi selepas lima penggal sebelum ini, PAS menguasai kerusi DUN tersebut.

Pertandingan satu lawan satu yang mana gelanggangnya dibuka hari ini menyaksikan proses penamaan calon berjalan lancar sebaik Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Madi, Yan, Kedah dibuka pada pukul 9 pagi.

Calon Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, Mohd Azam Samat tiba pada jam 8.33 pagi diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Mahfuz Omar dan pimpinan parti yang lain.

Manakala calon Barisan Nasional (BN) Profesor Dr Ahmad Sohaimi Lazim tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.55 pagi dengan diringi Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Perhubungan BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan beberapa pemimpin kanan parti.

Turut sama mengiringi kedua-dua calon ialah para penyokong parti yang dianggarkan lebih 5000 penyokong kedua parti berkumpul memberi sokongan.

Dr Ahmad Sohami dan Azam kemudian menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi dan 9.05 pagi.

Pegawai Pengurus PRK Dun Sungai Limau Abdul Rashid Othman mengesahkan penerimaan borang pencalonan dan berpuas hati dengan borang yang dikemukakan kedua-dua calon.

Kedua-dua calon kini mempunyai tempoh selama 12 hari untuk berkempen di kawasan tersebut sebelum hari pembuangan undi pada 4 November.

PRK N.20 Sungai Limau menyaksikan pertandingan antara dua pemimpin yang sekian lama terlibat dalam bidang pendidikan.

Ahmad Sohaimi yang berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak dekat sini merupakan pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sarjana Sastera Universiti Malaya dan Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik USM.

Calon PAS, Mohd Azam pula merupakan Penolong Kanan Ko-Kurikulum di Sekolah Menengah Agama An-Nahdzah, Bukit Besar.

Mohd Azam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir selain Diploma Pendidikan Pengajian Islam.

Beliau yang merupakan anak didik bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak turut memegang jawatan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kedah dan Ketua Pemuda PAS Jerai.

Datuknya, Abdul Hamid Ibrahim pernah bertanding di kerusi DUN Sala pada pilihan raya umum pertama pada 1959 mewakili PAS dan kalah kepada calon  Perikatan.

DUN Sala, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya dikenali sebagai DUN Sungai Limau sejak pilihan raya umum 2004.

DUN Sungai Limau terletak di dalam kawasan Parlimen Jerai dan mempunyai seramai 27,222 pengundi berdaftar.

Daripada jumlah itu 25,323 pengundi terdiri dari pengundi Melayu, 1,842 pegundi Cina, 15 pegundi India manakala selebihnya lain-lain dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan, yang merupakan penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 1995.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini untuk penamaan calon dan 4 Nov sebagai hari mengundi. - Astro Awani

Comments

Popular Posts