PRK SG LIMAU: BN TIDAK BERHAJAT GUNA PENDEKATAN AGRESIF DALAM RAIH UNDI


YAN:  Meskipun sudah masuk hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau, Parti Barisan Nasional (BN) dilihat tidak berhajat untuk menggunakan pendekatan kempen secara agresif dalam memenangi undi di kawasan ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata pilihan raya kecil ini adalah berlainan sama sekali dengan pilihan raya umum yang lalu jadi BN sama sekali tidak begitu memikirkan untuk terlalu agresif dalam memenangi hati penduduk.

"Ini merupakan pilihan raya kecil dan ianya dilakukan di kawasan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (Tan Sri Azizan Abdul Razak) yang sangat kita hormati. Oleh itu, pendekatan yang berhemah yang cuba kita bawakan disini amat sesuai dengan citarasan penduduk disini," kata Mukhriz selepas merasmikan majlis 'Kami Prihatin' Yayasan FELDA di Kompleks Penghulu Mukim Sala Besar, disini.

Menurut Mukhriz lagi, walaupun beliau ada menerima laporan bahawa pihak lawan iaitu Parti PAS begitu menggunakan pendekatan agresif dalam memancing undi, beliau telah membuat keputusan untuk mencontohi pendekatan yang dilakukan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan yang begitu berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam kempen pilihan raya.

"Saya buat keputusan ingin membuat pendekatan yang dilakukan oleh Ustaz Azizan iaitu sentiasa berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam pilihan raya," katanya lagi. 

Sementara itu,  dalam masa yang sama beliau menerima dengan hati terbuka beberapa episod serangan peribadi yang dilemparkan pembangkang terhadap beliau, sejak kempen berlangsung.

"Saya tidak bercadang untuk membalas dakwaan-dakwaan itu dan saya rasa kita perlu terus menumpukan kepada kempen secara sederhana dan yang penting kita akan tekankan soal calon anggota DUN kita yang datangnya dari pihak sama dengan kerajaan yang memerintah negeri, dimana ia juga  mendapat sokongan dari kerajaan pusat," kata beliau lagi.

Beliau menegaskan apa jua yang dijanjikan akan tetap mereka tunaikan seandainya BN memenangi PRK ini.
Majlis tersebut juga turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim. - Astro Awani

Comments