JAWATAN MENTERI PENGANGKUTAN DIPUTUSKAN SELEPAS AGM MCA : NAJIB

LONDON:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan membuat keputusan mengenai jawatan menteri pengangkutan yang belum diisi selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MCA Disember ini.

"Apapun kita tunggu AGM mereka dahulu. Apakah keputusan muktamad yang akan dibuat pada mesyuarat agung tahunan MCA yang akan berlangsung pada bulan Disember. Setelah itu saya akan buat keputusan," kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini.

Perdana menteri berada di sini sempena lawatan kerja lima hari bermula 27 Okt untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia Kesembilan yang akan berakhir hari ini.

Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, diminta mengulas keputusan MCA baru-baru ini yang kekal tidak mahu menerima apa-apa jawatan kabinet berikutan kekalahan teruk parti dalam pilihan raya umum ke-13 lepas.

Pada 20 Okt lalu, Mesyuarat Khas MCA telah memutuskan ketetapan itu kekal.

Bagaimanapun parti komponen itu meluluskan usul supaya parti menerima jawatan Senator dan sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri, termasuk Exco.

Buat masa ini jawatan menteri pengangkutan dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - BERNAMA

Comments

Popular Posts