PEMILIHAN : BARISAN BARU MT UMNO, USAHA ANGKAT MARTABAT WANITA LEBIH BERKESAN
KUALA LUMPUR: Dengan adanya dua orang pemimpin wanita yang diberi peluang untuk berada dalam barisan Majlis Tertinggi (MT) secara tidak langsung usaha mengangkat martabat wanita akan lebih berkesan.
Demikian kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menyifatkan keputusan pemilihan sayap UMNO kali ini berbeza dari penggal yang lepas.
"Saya boleh katakan keputusan kali ini berbeza dari sebelum ini yang hanya melayakkan seorang sahaja pemimpin wanita tetapi kali ini dua orang pemimpin wanita telah diberi peluang untuk berada dalam MT.
Maka secara tidak langsung ia meramaikan suara wanita di dalam MT" katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau turut yakin perwakilan baru akan memberi konsekuensi yang baik kepada parti memandangkan kaedah baru yang digunakan pada pemilihan penggal ini.
"Saya boleh katakan yang perwakilan baru dapat memberikan impak yang baik kepada parti memandangkan pemilihan kali ini merupakan usaha transformasi UMNO yang benar-benar memberi sepenuh kuasa kepada perwakilan untuk memilih pemimpin" jelasnya lagi.
Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar merasakan misi meremajakan UMNO sudah separuh tercapai kerana pemimpin muda telah diterima di setiap peringkat.
"Perkara yang lebih utama selepas ini adalah usaha pemimpin yang telah terpilih untuk meremajakan UMNO melalui program yang dekat dengan golongan muda" tambahnya lagi.
Selain itu, di dalam Pemilihan UMNO kali ini percubaan lima calon Wanita Umno menempatkan diri dalam MT gagal.
Cuma mantan Ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berjaya melayakkan diri.
Wanita, bagaimanapun, masih memiliki calon tunggal mereka dalam MT iaitu Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Astro Awani
Comments
Post a Comment