PRK SG LIMAU: PENGUNDI MUDA KUNCI ERA BARU PEMBANGUNAN DUN ITU

YAN: Pengundi muda harus menilai kemampuan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau secara mendalam bagi memastikan pembangunan di kawasan itu akan lebih terjamin.


Penganalisis politik berpendapat adalah penting bagi 11,000 pengundi muda atau 60 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar DUN Sungai Limau mengambil kira faktor perangkaian dan sistem sokongan calon bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat berjalan lancar.


Dalam pilihan raya umum yang lepas, DUN Sungai Limau adalah satu-satunya kawasan di bawah Parlimen Jerai yang dikuasai PAS, berbanding dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun yang di bawah Barisan Nasional (BN).


DUN Sungai Limau malahan berada di bawah PAS sejak pilihan raya umum 1995 apabila Tan Sri Azizan Abdul Razak bertanding buat pertama kali kerusi tersebut, dan sebelum itu kerusi itu disandang oleh Ahmad Awang dari BN.


Menurut Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam, satu-satunya cara untuk memastikan agenda pembangunan berjalan lancar adalah memastikan setiap peringkat, bermula daripada DUN, Parlimen hinggalah ke kerajaan negeri diwakili oleh suara yang sama.


"Kita tak nafikan PAS juga boleh membawa suara rakyat, tetapi suara yang dibawa adalah dari sudut pembangkang yang mungkin mempunyai objektif berlainan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Mengulas lebih lanjut, Ramlah berkata pengundi muda harus menolak ketepi kepentingan diri dan memilih calon yang boleh melakukan perubahan signifikan terhadap kawasan itu.


Beliau berkata di sinilah pentingnya golongan muda menilai secara menyeluruh mengenai calon yang bertanding, terutama dalam memilih wakil yang lebih memahami prosedur pentadbiran dalam sesuatu organisasi.


"Kedua-dua calon mempunyai latar belakang sebagai pendidik, namun BN mengenengahkan seorang bekas pensyarah kanan sebuah universiti awam serta mempunyai kelayakan peringkat doktor falsafah,


"Disokong pula dengan pengalaman beliau yang begitu lama dalam bidang pendidikan...jiwa pendidik biasanya sentiasa mempunyai kecenderungan untuk berinteraksi lebih dengan masyarakat dan ini pasti memberikan kelebihan untuk beliau memimpin masyarakat setempat," katanya.


Tambah Ramlah lagi, pengundi berdaftar, khususnya dari golongan muda harus bertanya kepada diri sendiri adakah mereka sudah berpuas hati dengan kemajuan DUN Sungai Limau capai semenjak 18 tahun di bawah pimpinan PAS.

"Mereka harus berfikir adakah adil untuk melihat kawasan tersebut, yang didiami sebilangan besar warga emas serta generasi baharu, untuk terus mundur tanpa pembangunan?" katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata pengundi muda harus melihat corak kempen kedua-dua calon dan menilai siapa yang lebih mementingkan pembangunan kawasan ini.

Beliau berkata, Ahmad Sohaimi dilihat lebih fokus ke arah agenda pembangunan berbanding dengan taktik menyerang keperibadian lawan, yang beliau sifatkan sebagai politik agresif.

"Di samping agenda pembangunan, beliau (Ahmad Sohaimi) masih tidak mengabaikan satu daripada identiti Sungai Limau iaitu sekolah pondok," katanya.

"Malah beliau sendiri menyatakan komitmennya untuk melihat sekolah pondok berteraskan pembelajaran sains untuk dibina di sini sebagai sebahagian daripada manifesto beliau," kata Md Shukri.


Menurut Md Shukri, masyarakat, khususnya pengundi, akan melihat pendekatan yang Ahmad Sohaimi ambil, iaitu memastikan pembangunan disuntik tanpa mengabaikan elemen yang sudah menjadi sebahagian daripada penduduk di sini, sebagai satu kelebihan untuk memungkinkan beliau dipilih.


"Inilah peluang kepada orang muda di Sungai Limau, mahupun mereka yang sudah sekian lama berhijrah ke bandar-bandar, untuk bersama-sama kerajaan negeri supaya dasar baharu DUN Sungai Limau boleh dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

#Berani Hijrah

Comments