IBADAH KORBAN HAJI, HARAP TERAP SEMANGAT PERJUANGAN AGAMA : PM

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap ibadah korban dan haji yang dilakukan umat Islam menyuburkan semangat pengorbanan dalam memperjuangkan agama dan meninggikan kalimah Allah.

Bagi menghayatinya Malaysia perlu istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini jelasnya lagi.

Najib dalam perutusan Aidiladhanya melalui Blog 1 Malaysia berkata, objektif syariah atau maqasid syari'e kerajaan akan terus memacu Malaysia menuju wawasan yang telah ditetapkan. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap keazaman itu seiring dengan program-program transformasi selaras dengan usaha memantapkan perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini.

Tambah beliau, pengiktirafan kepada jemaah Malaysia sebagai model jemaah terbaik  di tanah suci memberi inspirasi untuk muncul sebagai model negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi.

Menurut Najib lagi, apa yang lebih membanggakan dalam pengertian semangat pengorbanan menurut Islam,  Malaysia sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai selain menerajui gerakan kesederhanaan dan keamanan di peringkat global.

Perdana Menteri juga mendoakan jemaah haji Malaysia mendapat haji yang mabrur dan sembelihan korban umat Islam benar-benar diterima Allah serta meneguhkan lagi takwa ummah. - Astro Awani

Comments