DUA MAUT, DUA CEDERA DALAM KEJADIAN MENGAMUK


KUALA LUMPUR:  Seorang lelaki berusia 26 tahun yang bersenjatakan pisau, mengamuk hingga menyebabkan dua orang terbunuh dan dua lagi cedera parah berhampiran stesen Putra LRT Gombak dan Taman Melati di sini hari ini.

Kejadian bermula pada kira-kira pukul 11.20 pagi apabila lelaki terbabit yang bekerja dengan sebuah syarikat rokok tiba-tiba mengamuk ketika menghantar rokok ke sebuah kedai berhampiran stesen LRT Gombak.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata lelaki itu menikam dua wanita, pemilik kedai berkenaan yang berusia 60 tahun dan pembantunya seorang warga Indonesia berusia 40 tahun, menyebabkan kedua-dua mereka cedera parah.

Suspek kemudian meninggalkan tempat itu dengan vannya dan menuju ke Stesen Putra LRT Taman Melati, kira-kira tiga kilometer dari situ, apabila dia melanggar sebuah van lain sebelum menikam pemandunya Lee Kah Ghee, 40, dari Taman Segambut Indah, beberapa kali di bahagian dada. Lee meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek, yang disyaki polis mengalami masalah mental, kemudian terus mengamuk dengan menikam hingga mati seorang pelajar lelaki berusia 25 tahun, yang cuba melarikan diri selepas keretanya dilanggar van yang dipandu lelaki berkenaan.

Menyedari lelaki itu bersenjatakan pisau, pelajar berkenaan segera keluar dari keretanya untuk melarikan diri, tetapi suspek menghalangnya dan menikamnya beberapa kali di Jalan Tumbuhan, hingga mati, kata Khairy.

Menurut beliau, orang ramai dapat memberkas lelaki terbabit, yang berasal dari Felda Pemanis, Segamat, Johor, serta merampas sebilah pisau daripadanya sebelum menghubungi polis.

Khairy berkata dua wanita yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat dua lagi mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts