#BAJET 2014: CUKAI PENDAPATAN DIKURANGKAN 3%


Kuala Lumpur: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga peratus pada 2015. 
Berikutan pengurangan itu, 300,000 yang kini pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai dan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat bertambah. 


Pengurangan cukai individu itu antara langkah kerajaan sebelum melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berikutan langkah itu juga, isi rumah berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.


"Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai," katanya.
 
Najib berkata, struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara. 



Bagi memastikan struktur cukai lebih progresif katanya, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada RM100,000 kepada melebihi RM400,000. 


Kadar cukai maksimum yang kini 26 peratus dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus.


Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan memberi pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 bagi golongan berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan yang diperoleh tahun ini.


Beliau berkata, langkah itu dapat memberi penjimatan bayaran cukai sehingga RM480.


"Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana kerana mereka pembayar cukai pendapatan terbesar. Mereka terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.


Kerajaan juga akan memberikan bantuan tunai RM300 secara sekali saja kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) semasa peringkat peralihan pelaksanaan GST.


Bagi memastikan syarikat perniagaan melaksanakan GST, Najib mencadangkan pakej tambahan seperti pengurangan kadar cukai pendapatan syarikat daripada 25 kepada 24 peratus, kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan daripada 20 kepada 19 peratus berkuat kuasa 2016.


Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua peratus bermula 2015, manakala kos pembelian peralatan dan perisian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016.


Kerajaan juga katanya, akan memberikan bantuan kewangan RM150 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk perisian perakaunan bagi 2014 dan 2015.-BH

Comments

Popular Posts