#BAJET 2014: RM2.2B LAKSANA PROGRAM PEMBANGUNAN WANITA
Sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan.
Antaranya, penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang akan merangka program kepemimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk wanita.
Kerajaan juga akan melaksanakan Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Anggota Lembaga Pengarah syarikat, program keusahawanan Purple DNA seperti 'Purple Licious' iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dan pemeriksaan ujian mamogram sedia ada, kerajaan mencadangkan pemberian percuma alat bantuan sokongan 'prosthesis' luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara.
Katanya, bantuan itu dapat meringankan kos membeli alatan berkenaan yang dianggarkan sekitar RM1,200 dan akan memanfaatkan lebih 8,000 pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.
"Selain itu, kerajaan akan menambah empat bas khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta ujian glukosa dan kolesterol," katanya.
Mengulas pelbagai pelbagai inisiatif yang disediakan dalam Bajet 2014 untuk wanita, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Siti Norlasiah Ismail, berkata walaupun dilihat tidak menyeluruh, ia banyak menekankan aspek kesihatan, alam sekitar dan pembangunan ekonomi keluarga.
Katanya, peruntukan RM2.2 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat memberi kesinambungan lebih luas bagi program berkaitan pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan.
Katanya, melalui kajian LPPKN bagi melihat tahap kesejahteraan keluarga, pihaknya dapati isu pengurusan kewangan menjadi satu masalah dengan skala 6.9 daripada 10.
"Masalah itu menjadi bebanan kerana keluarga tidak mempunyai tabungan dan dibebani hutang. Justeru, saya percaya penyelesaian diberikan melalui program pengurusan kewangan, insentif bantuan dan skim tabungan untuk orang muda dalam Bajet 2014 dapat memperbaiki keadaan itu," katanya. - BH
Comments
Post a Comment