PRK SG LIMAU: PENGUNDI DUN SG LIMAU SUDAH SEDIA 'BERHIJRAH' - KJ


YAN:  Para pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilihat sudah bersedia untuk membuat 'penghijrahan' termasuk di empat kawasan hitam yang kini sudah mula ditembusi jentera Barisan Nasional (BN).


Empat kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di DUN Sungai Limau ialah Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buluh dan Selengkoh.


Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata ia petanda baik dan jika majoriti PAS di empat kubu kuat mereka itu dapat dikurangkan, peluang BN secara keseluruhan bagi pilihan raya kecil DUN itu adalah lebih cerah.


"Saya diberitahu dahulu, nak letak bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, sekarang ini bendera BN berkibar di sana, poster dan bunting calon dapat dinaikkan malah ada juga orang kuat PAS yang sudah bersama kami.


"Sama ada menjadi jentera, menyokong, ada juga yang menjenguk bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kami, itu petanda baik, maksudnya mereka bersedia untuk buat penghijrahan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjaun mesra di PDM Bukit Besar dan Permatang Buluh, di sini hari ini.


Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara keseluruhan harapan generasi muda yang ingin melihat kemajuan menjadi antara faktor sokongan kepada BN di DUN itu semakin meningkat.


"Mereka menaruh harapan tinggi bahawa kemajuan dan perubahan ini hanya dapat dikecapi sekiranya wakil rakyat di sini adalah wakil rakyat dari parti sama yang mentadbir kerajaan negeri dan pusat," katanya.


Bagi Pemuda BN, beliau berkata strategi yang diguna untuk menarik lebih ramai sokongan pengundi akan terus menggunakan tempo sama dengan pendekatan sederhana, antaranya menemui pengundi dari rumah ke rumah dan mengadakan ceramah kecil-kecilan.


Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno kesal imej dan ketokohan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat Sungai Limau sejak 1995 sehingga meninggal dunia pada 26 Sept lepas, dimanipulasi PAS dalam kempen pilihan raya kecil itu.


"Saya rasa amat sedih sebab gambar itu diedarkan semata-mata nak tunjukkan bahawa calon dia (PAS) itu baik dengan arwah Ustaz Azizan, sebab dia tahu Ustaz Azizan disegani dan dihormati dan apa tujuan nak letak gambar dia dengan Ustaz Azizan sebab nak dapat sokongan daripada orang yang sayang arwah," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemalsuan gambar risalah profil calon PAS Mohd Azam Abd Samat.


Terdahulu, Khairy dalam lawatan membantu kempen pilihan raya kecil itu turut membuat tinjauan menaiki motosikal ke empat rumah di kawasan Bukit Besar, di sini. - BERNAMA

Comments

Popular Posts