Followers

SABAH MILIK MALAYSIA


Sabah Milik Sah Malaysia, Tidak Boleh Dituntut Mana-mana Pihak – Rais

Sabah ialah hak milik sah Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa, dan negeri itu atau sebahagian daripadanya, tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata perkara itu jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan bahawa majoriti rakyat Sabah bersetuju negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Sebelum Malaysia dibentuk, sebuah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Cobbold telah diwujudkan, bagi membuat pungutan suara rakyat Sabah berkenaan penyertaan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

"Secara keseluruhan suruhanjaya itu mendapati rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia dan kemasukan ke Malaysia adalah tindakan kenegaraan dan tiada lagi tuntut-menuntut selepas itu," katanya selepas menghadiri Majlis Jalinan Murni Pemimpin Bersama Warga Penjara dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Institusi Pemulihan Dadah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh kumpulan bersenjata yang mendakwa diri mereka sebagai 'Tentera Kesultanan Sulu' yang kononnya mahu menuntut negeri itu daripada Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata kementerian itu bercadang mengadakan program khusus bagi mencungkil bakat dalam kalangan warga penjara terutama dalam bidang seni budaya dan kraf.

Katanya langkah itu bagi memberi peluang dan galakan kepada warga penjara untuk meneruskan kehidupan dengan cara menyemarakkan bakat seni mereka menerusi latihan-latihan tertentu.

"Ini penting oleh kerana seseorang banduan itu tidak semestinya 'jiwanya habis' ataupun 'hidupnya kandas' terus menerus. Sekiranya kita beri ruang dan peluang untuk dilatih menyemarakkan bakatnya, maka seseorang banduan boleh meningkat setinggi mungkin dalam bidang itu," katanya.

Sumber: UMNO-online

No comments:

Post a Comment