SIBUK SEMACAM JE
Sejak akhir-akhir ini, pejabat dan juga kediaman rasmi Perdana Menteri sibuk luar biasa.
Kereta rasmi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, pemimpin-pemimpin parti komponen keluar masuk tak berhenti.
Asal saja Perdana Menteri dan Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ada di Sri Perdana memang sah-sah mesyuarat demi mesyuarat yang dipercayai berkaitan dengan persiapan menjelang pengumuman bubar Dewan Rakyat.
Najib yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk membubarkan Dewan Rakyat bila-bila masa yang dia suka, semalam turut mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Difahamkan selepas mesyuarat Kabinet semalam, Najib menemui beberapa menteri besar dalam pertemuan berasingan, termasuklah dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Kisah Ali Rustam atau dipanggil 'Tok Ali' dikalangan UMNO agak menarik, semalam merupakan pertemuan kedua beliau dengan PM dalam minggu ini, dipercayai pertemuan kedua dibuat tak lama selepas Tok Ali mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.
Ramai yang tertanya-tanya apakah ini signal Tok Ali hendak ke Pusat? Beliau sendiri sudah membayangkan kesediaannya untuk melepaskan kerusi DUN untuk bertanding Parlimen dalam pilihanraya akan datang.
Hasrat Tok Ali ini semua maklum, cuma kata putus dari PM saja yang ditunggu-tunggu.
Jika Tok Ali ke Pusat, satu-satunya kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya adalah Bukit Katil. Kerusi tersebut kini diwakili bekas setiausaha politiknya, Datuk Mat Sirat, yang sedia maklum memang orang kuat Tok Ali dan tak ada masalah nak bagi laluan bila-bila masapun.
Untuk rekod, PKR menamakan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai calonnya di Parlimen Bukit Katil.
Hari ini, difahamkan, Najib akan menemui sekurang-kurangnya empat lagi MB dan KM.
Yang dalam senarai hari ini, adalah KM Sabah, Datuk Seri Musa Aman, MB Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, MB Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas juga dijadualkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri hari ini.
Tugas berat Najib adalah untuk memilih dan memuktamadkan senarai 727 calon BN yang akan bertanding 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN dalam pilihanraya umum ke 13 ini.
Agendadaily difahamkan, senarai calon BN akan diumumkan sehari selepas Parlimen dibubarkan.
Ini bermakna lebih awal dari sebelumnya, kerana mengikut tradisi, calon BN biasanya diumumkan hanya sehari, dua sebelum pernamaan calon
Sumber: agenda daily news
Comments
Post a Comment