"KAMI TIDAK MAHU TINGGAL LAGI DI SITU": PENDUDUK TANDUO


LAHAD DATU: Pendaratan kumpulan militan dari selatan Filipina di pesisir pantai Lahad Datu, khasnya di Kampung Tanduo, dekat sini 12 Feb lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk sekali gus merubah rutin kehidupan daripada ceria kepada malapetaka.

Diselimuti hutan sekunder dan dipisahkan sebatang sungai dari kawasan ladang kelapa sawit Sungai Nyamuk, petempatan itu yang dilatari pokok renek dan kawasan berpaya serta menghadap laut didiami 12 keluarga, rata-rata bekerja sebagai nelayan dan pekerja ladang. 

Namun, dalam sekelip mata kedamaian perkampungan itu lenyap dan bertukar menjadi zon perang apabila sekumpulan lelaki asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api mendarat pada hari Selasa, lebih sebulan lepas.


Kedegilan kumpulan kira-kira 200 orang itu berundur dari Kampung Tanduo selepas diberi peluang, memaksa kerajaan melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu pada kira-kira 7 pagi, 5 Mac menggunakan tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.

Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu-talu mortar 91mm pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu saki-baki pengganas.

Selepas melalui proses penggeledahan dan pembersihan yang panjang, Kampung Tanduo yang menjadi titik pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan akhirnya diisytihar bersih dan bebas daripada ancaman pada 11 Mac, sekali gus membawa khabar gembira kepada penghuninya yang terpaksa berpindah ke beberapa pusat petempatan sementara.

Bagaimanapun, kegembiraan penduduk untuk kembali ke rumah bertukar pilu apabila melihat sendiri kemusnahan yang dialami kampung mereka. 

Kepulangan semula mereka ke rumah masing-masing Selasa lalu selepas 43 hari insiden pencerobohan disambut pemandangan menyayat hati menyaksikan ketenangan kampung yang dinikmati sebelum ini lenyap daripada pandangan dengan rumah-rumah dan harta benda musnah.


Hampir semua rumah mempunyai kesan tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba tidak lengkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam peperangan di luar negara menerusi televisyen.

"Saya tidak mahu tinggal di sini lagi...," kata Atareh Sabtal, 39, cukup untuk menggambarkan kehampaan dan kepiluan penduduk kampung itu.

- BERNAMA

Comments

Popular Posts