PRIHATIN: GERAN RM5,000 PENERIMA LESEN TEKSI UNTUK PROTON EXORA


PUTRAJAYA – Seramai 1,000 penerima lesen teksi individu akan menerima geran bernilai RM5,000 tiap seorang bagi pembelian Proton Exora, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata semua pemandu teksi yang menerima lesen individu itu wajib membeli kenderaan jenis MPV itu untuk digunakan sebagai teksi.

"Ia satu lagi komitmen kerajaan untuk memastikan pemandu teksi dapat menyediakan kenderaan yang sesuai bagi kemudahan dan keselesaan penumpang," katanya pada majlis pemberian lesen Teksi Individu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyerahkan 200 lesen individu pertama manakala selebihnya akan diuruskan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Turut hadir pada majlis itu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku penaung Pertubuhan Teksi Malaysia dan Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata Yayasan Rakyat 1MDB akan beri geran itu, bermakna harga Proton Exora bernilai RM64,000 akan dikurangkan kepada RM59,000.

Selain itu, katanya kumpulan pemandu teksi berkenaan juga bakal diberi kemudahan untuk menurun dan mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2.
Perdana Menteri berkata ini merupakan 'satu lagi janji ditepati' kerana kebajikan pemandu teksi juga perlu dijaga dan dijamin bagi membolehkan mereka menyara keluarga di samping menikmati masa depan lebih baik.

"Walaupun tidak dinafikan syarikat teksi telah memberi peluang pekerjaan kepada pemandu teksi tetapi ada juga yang mengeksploitasi pemandu teksi seakan-akan sistem penghambaan zaman moden," katanya.
Justeru, katanya usaha kerajaan itu sekali gus dapat memelihara kebajikan pemandu teksi selain menjadi titik permulaan kepada sistem baharu yang akan dilaksana bila sampai masanya nanti, kerana bukan sesuatu yang mustahil untuk mencapai perkhidmatan teksi bertaraf dunia.

Perdana Menteri berkata pemandu teksi yang menerima geran itu perlu memberikan bai'ah kepada kerajaan untuk menjadi pemandu teksi yang bersopan, amanah dan "jangan lupa budi kerajaan bila sampai masanya".
Beliau berkata banyak bantuan telah disediakan kerajaan sebelum ini, misalnya program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disusuli BR1M 2.0

"Berbeza dengan pembangkang, mereka buat (demonstrasi jalanan) Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 tetapi kita buat BR1M 1.0, BR1M 2.0 dan juga TR1MA telah diberikan, tidak lama lagi SPAD akan lancar TR1MA 2.0," katanya.

TR1MA akan memanfaatkan 76,000 pemandu teksi di seluruh negara.

"Inilah kerajaan yang beri kebajikan, membela masa depan rakyat, bukan menyusahkan negara, bukan langgar undang-undang, bukan hancurkan negara, tetapi membina negara lebih baik, berbeza dengan pembangkang," kata Najib. Sementara itu, Syed Hamid berkata berkata pemberian lesen teksi individu tidak akan membawa kepada lambakan teksi kerana syarikat-syarikat teksi telah menyerahkan kembali lesen teksi mereka.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat teksi kerana atas tanggungjawab sosial korporat (CSR), menyerahkan kembali lesen teksi.

"Dari semasa ke semasa, jika lebih ramai daripada mereka mahu menyerahkan (lesen), dengan itu kami akan mengeluarkan lebih banyak lesen. Kita juga akan membuat kajian daripada segi pertambahan penduduk dan permintaan. Kita tidak akan keluarkan lesen sewenang-wenangnya. Kita nak tentukan semua orang boleh cari makan," katanya.

Mengenai pemberian geran RM5,000, Syed Hamid berkata ia merupakan peluang terbaik yang diberikan kerajaan untuk membolehkan pemandu teksi memiliki kereta sendiri.

"Penerima akan menikmati tempoh bayaran balik selama tujuh tahun serta kadar bayaran bulanan yang lebih rendah dan kereta tersebut tidak boleh dipindah milik…saya berharap penerima lesen teksi individu akan memberikan perkhidmatan terbaik," katanya. -  Bernama

Comments

Popular Posts