PINDAH KERUSI KAWASAN KERANA TIDAK YAKIN SELAMAT


KUALA LUMPUR 25 Mac - Para pengundi dinasihat berhati-hati dengan kecenderungan para pemimpin pembangkang melompat kerusi kerana mereka sebenarnya mahu mencari kerusi selamat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pensyarah di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, sikap pemimpin yang bertindak lompat kawasan itu merupakan bukti mereka tiada pendirian yang tetap.

"Amalan lompat kerusi oleh pemimpin harus ditolak oleh rakyat kerana ini menunjukkan mereka tidak yakin boleh menang, lalu bertanding di kawasan lain.

"Hal ini membuktikan mereka takut dihukum oleh rakyat atas kegagalan berkhidmat di kawasan sebelum ini sehingga terpaksa melarikan diri ke kerusi lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung amalan pemimpin pembangkang yang mahu bertanding di kerusi lain demi kelangsungan politik mereka.

Semalam Khairy menegaskan, amalan itu bercanggah dengan prinsip Barisan Nasional (BN) yang dari dahulu sentiasa mengutamakan perjuangan membela rakyat, bukannya kepentingan calon itu sendiri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan bakal bertanding di Parlimen Gelang Patah dengan meninggalkan kerusi tradisinya di Parlimen Ipoh Timur manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh tetapi berhasrat bertanding di Selangor atau Perak.
Menurut Jayum, calon pemimpin seharusnya datang dari kawasan mereka sendiri supaya kepentingan rakyat setempat dapat dijaga.

"Jika pengundi lebih memilih calon dari luar, ini menunjukkan di kawasan berkenaan tiada calon sesuai yang berkelayakan untuk memimpin sehingga memilih calon dari luar," jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sesetengah pemimpin mengandaikan mereka sudah kukuh di kawasan asal dan percaya mereka mampu meraih kemenangan di tempat baharu.

"Namun boleh jadi juga pemimpin bertindak tukar kawasan kerana merasakan sokongan sudah terhakis dan sukar untuk menang di kawasan berkenaan, jadi pengundi harus bijak membuat keputusan," ujarnya.

Beliau juga menegaskan, pengundi harus menilai secara menyeluruh dengan merujuk nilai integriti seseorang pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawabnya di tempat asal. - UTUSAN

Comments

Popular Posts