TEROWONG DIKENA TOL, GUAN ENG BERI ALASAN MENGARUT


KUALA LUMPUR 25 Mac - Tindakan Lim Guan Eng memberi alasan takut kalah dan tidak mahu dituduh mensabotaj projek Kerajaan Persekutuan apabila mengenakan tol untuk projek terowong dasar laut, disifatkan sebagai mengarut dan tidak berasas.

Malah kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang memberi alasan orang ramai mungkin tidak akan menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang, juga sebagai langkah menutup kesalahan pakatan pembangkang yang nyata tidak mampu menunaikan janji mereka untuk menghapuskan tol.

Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, segala alasan yang diberikan Guan Eng itu tidak berasas dan hanya mahu menutup tujuan asal pembinaan terowong dasar luat berkenaan.

Ujarnya, projek bernilai RM6.3 bilion itu bukan satu nilai yang sedikit malah tindakan kerajaan negeri mengenakan tol bertujuan mengaut keuntungan jangka masa panjang untuk membayar balik kos pembinaan projek mega berkenaan.

"Jika dilihat dari aspek ekonomi, mustahil bagi kerajaan negeri untuk tidak mengenakan sebarang tol kerana projek yang menelan belanja berbilion ringgit itu.

"Malah langkah mengenakan tol itu juga sebagai cara menarik keyakinan pelabur untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan projek berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas alasan Guan Eng yang akan mengenakan tol kepada pengguna terowong dasar laut yang mahu dibinanya kerana takut kalah kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Malah beliau juga memberi alasan tidak mahu dituduh mensabotaj projek Kerajaan Persekutuan iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang kerana bimbang orang ramai tidak akan melalui jambatan tersebut.

Mohd. Fazil turut mempersoalkan keputusan Guan Eng yang tetap berdegil untuk meneruskan projek berkenaan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

"Lebih baik peruntukan yang ada disalurkan untuk meningkatkan sistem jalan raya dan pengangkutan sedia ada di pulau itu yang nyata memberi manfaat secara menyeluruh berbanding membina terowong dasar laut yang belum tentu menjamin melancarkan aliran trafik di Pulau Mutiara itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Belia 4B (GB4B) Malaysia, Mohd. Nizam Omar berkata, tindakan mengenakan tol di terowong dasar laut itu jelas memperlihatkan kelemahan pemimpin DAP kerana tidak mampu menunaikan manifesto yang telah dijanjikan mereka.
"Kenapa perlu mengaitkan pihak lain dalam pembinaan terowong ini.

"Jika benar projek ini untuk kemudahan rakyat, buktikan dan jangan sekadar pandai memberi alasan untuk menutup kelemahan sendiri serta menjadikan pihak lain sebagai kambing hitam," katanya. - UTUSAN

Comments

Popular Posts