POLIS CARI EMPAT PEKERJA LADANG SAMUN MAJIKAN SENDIRI
Temerloh, 30 Mac - Melihat jumlah RM36,000, apa lagi dalam bentuk tunai, boleh menyebabkan sesetengah orang "gelap mata".
Empat lelaki pekerja Indonesia malah turut terpukau bila melihat wang tersebut yang dibawa majikan mereka, berselerak di depan mata - sebahagiannya wang gaji mereka sendiri.
Sebaik sedar dari lamunan, kumpulan lelaki itu segera bertindak menyerang majikan mereka yang datang bersama isteri dan anaknya, dan sepantas kilat mereka melarikan beg mengandungi wang tersebut.
Kejadian berlaku di ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari Pekan Lanchang, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh Pemangku ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian 2 petang itu, majikan berusia 62 tahun, bersama isterinya, 60, dan seorang anak lelakinya, 31, pergi ke rumah kongsi berkenaan bagi membayar gaji kepada pekerjanya.
"Semasa anak mangsa sedang mengira wang untuk membayar gaji, tiba-tiba mereka diserang empat pekerja Indonesia yang mungkin 'kelabu mata' melihat wang tunai yang banyak.
"Suspek menggunakan kayu dan besi memukul ketiga-tiga mangsa sebelum merampas dan melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM36,000 itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, akibat dipukul, mangsa mengalami luka di bahagian dahi dan menerima lima jahitan, manakala isterinya pula patah tangan kanan dan anak lelaki mereka hanya mengalami cedera ringan.
Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa wang tunai RM50,000 dan telah mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang sebelum membawa baki RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain.
"Berdasarkan siasatan awal, keempat-empat suspek yang berusia antara 22 hingga 38 tahun itu melakukan rompakan tersebut secara tiba-tiba.
"Kesemua suspek kemudian melarikan diri sejauh dua kilometer hingga ke Lebuh raya Pantai Timur (LPT).
"Polis percaya suspek menghubungi rakannya yang lain dan melarikan diri melalui lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya.
Menurutnya, keempat-empat suspek yang diburu itu dikenali sebagai Dedek Febri Sukmarianto, 22; Muhyanto, 25; Jumadi, 20; dan Galeng, 38; dan semua mereka masuk ke negara ini secara sah.
Abdul Aziz berkata, polis kini melancarkan gerakan memburu semua suspek di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
Abdul Aziz menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi hotline IPD Temerloh 09-2964999 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Wan Khairul Azuan 019-7276674. - BERNAMA
Comments
Post a Comment