JHEAIK DIDESAK SIASAT NIK AZIZ ISU KALIMAH ALLAH, PUTAR BELIT AL-QURAN

PASIR PUTEH 25 Mac - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) didesak supaya menyiasat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan beliau dalam isu kalimah Allah, memutar belitkan tafsir ayat al-Quran dan menghina Rasulullah dengan menyamakan baginda seperti orang kampung.

Desakan itu dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Keselamatan Pas negeri, Shaidi Husin, kerena mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz dalam isu-isu berkenaan boleh menyesatkan umat Islam.

"Sebenarnya perkara ini tidak boleh dibiar atau dipandang remeh oleh pihak berkuasa agama kerana ia boleh menyesatkan orang ramai, selain merosakkan kesucian agama Islam," katanya berucap pada Program Himpunan Selamat Tinggal Pas di Kampung Kandis di sini malam tadi.

Dalam pada itu penceramah bebas, Rosdi Muda berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini rakyat perlu bangkit membuat perubahan demi menjaga kedaulatan agama Islam yang semakin tercalar akibat permainan politik golongan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, realiti politik hari ini jelas menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO mempunyai kemampuan dalam memartabatkan agama Islam berbanding pembangkang.

"Lihat sahaja setiap isu yang berbangkit terutamanya perkara membabitkan kalimah Allah, UMNO sentiasa konsisten mempertahankan kalimah suci tersebut daripada digunakan oleh bukan Islam," katanya.

Katanya lagi, tidak ada sebab rakyat menolak BN pada PRU-13 nanti kerana selain soal agama, BN sentiasa memahami aspirasi rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan yang sememangnya menjadi keperluan mereka. - UTUSAN ONLINE

Gambar:
1. SHAIDI Husin berucap pada Program Himpunan Selamat Tinggal Pas di Kampung Kandis dalam kawasan DUN Gaal, Pasir Puteh, Kelantan malam tadi.

2. PENCERAMAH bebas, Rosdi Muda hadir pada Program Himpunan Selamat Tinggal Pas di Kampung Kandis dalam kawasan DUN Gaal Pasir Puteh, Kelantan malam tadi.

Comments

Popular Posts