LIMA W013 CATAT KEJAYAAN TARIK 185, 000 PENGUNJUNG : ZAHID

LANGKAWI 30 Mac - Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 mencatatkan kejayaan apabila berjaya menarik lebih 185,000 pengunjung melebihi daripada 150,000 yang disasarkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 81,390 mengunjung pameran miritim manakala 32,000 lagi di pameran udara.

Menurut beliau, LIMA 2013 juga dianggap mencapai kejayaan apabila mencatatkan peningkatan dari segi jumlah dan nilai aset yang dipamerkan.

"LIMA 2013 juga merupakan pameran ketiga terbesar seumpamanya di dunia. Ia merupakan kejayaan yang cukup bermakna kepada negara," kata beliau pada sidang akhbar penutup LIMA 2013 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, penganjuran LIMA 2015 juga akan dilangsungkan pada musim cuti persekolahan pada bulan Mac manakala jumlah pengunjung awam tidak akan dilanjutkan lebih daripada dua hari seperti sebelum ini.

"Tiga elemen diambil kira dalam mengadakan LIMA iaitu membawa individu ditahap membuat keputusan bagi meningkatkan nilai, kedua menjemput pemain industri di seluruh dunia bagi meningkatkan perniagaan mereka di negara masing-masing. Sementara elemen ketiga, pemadanan perniagaan juga dilakukan oleh pengunjung perniagaan," katanya.

Jelasnya, tiga elemen tersebut yang membezakan LIMA dengan pameran lain.

Pihak penganjur mensasarkan 200,000 pengunjung awam dan 40,000 pengunjung perniagaan pada LIMA 2015. - UTUSAN

Comments

Popular Posts