PDRM KUKUH BAHAGIAN IT BANTERAS PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengukuhkan bahagian Teknologi Maklumat (IT) bagi membanteras penyalahgunaan penyebaran maklumat palsu dan fitnah menerusi laman sosial dan Internet.
   
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ini kerana penyebaran tersebut merupakan cabaran besar PDRM dalam menangani pihak tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan laman sosial seperti menerusi Facebook, Twitter dan sebagainya untuk aktiviti yang tidak sepatutnya.
   
"Saya telah mengarahkan pasukan komunikasi serta bahagian IT di Bukit Aman bagi meningkatkan lagi keupayaan kita untuk memerhati elemen tidak sihat ini," katanya dalam temu bual di sini.
   
Justeru itu, PDRM telah membelanjakan RM500 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun lepas untuk meningkatkan keupayaan anggota polis dalam menangani penyebaran maklumat salah, maklumat tidak tepat atau fitnah yang mampu menjatuhkan imej polis.
   
"Kita tahu sebelum ini kalau ada kematian di dalam lokap terus orang ramai mengeluarkan fitnah polis bunuh orang kena tahan (OKT) di dalam lokap.
 
"Ini tidak benar langsung, kalau ada polis yang telah melebihi kuasa mereka, mereka tetap akan dituduh di mahkamah dan dari dulu lagi kita tidak pernah menyembunyikan perkara ini," katanya.
   
Ismail berkata perkara sebegini yang mampu menghakiskan keyakinan rakyat terhadap polis.
   
"Inilah saya katakan, kita perlu mempertingkatkan lagi hubungan bersama pihak media terutamanya daripada bahagian komunikasi dan perhubungan awam serta bahagian pengurusan agar dapat menyampaikan sesuatu perkara yang tidak benar kepada masyarakat luar sana," katanya. - Bernama

Comments

Popular Posts