UMNO AKAN UMUM SENARAI CALONNYA ESOK & PARTI KOMPONEN MULAI HATI INI : NAJIB

KUALA LUMPUR, 15 April - Umno akan mengumumkan senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) esok, sementara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, mulai Isnin.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengerusi BN negeri-negeri akan menyampaikan surat watikah pencalonan kepada calon-calon BN di negeri masing-masing esok.

Beliau berkata pemilihan calon telah melalui proses yang panjang, meliputi banyak rundingan dengan parti komponen dan pengerusi BN negeri-negeri, selain mengambil kira sentimen dan jangkaan pengundi untuk melihat perubahan dalam barisan calon BN.

"Senarai calon BN ini merupakan barisan yang pada hemat saya terbaik yang mampu kita sediakan," katanya perdana menteri kepada pemberita selepas menyerahkan surat watikah Pencalonan dan Aku Janji BN kepada presiden parti-parti komponen dan pengerusi BN negeri-negeri di sini hari ini.

Sementara itu, pengerusi BN negeri-negeri yang ditemui selepas majlis itu enggan mendedahkan banyak perkara sebaliknya memaklumkan senarai calon BN untuk kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) akan diumumkan esok di setiap negeri.

Bagaimanapun Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abdul Taib Mahmud sempat mengulas dengan mengatakan beliau amat berpuas hati dengan senarai calon BN untuk negeri itu, dan "bagi saya perdana menteri telah mengambil kira dan membuat keputusan yang baik untuk kesemua parti di Sarawak."

"Saya percaya senarai ini dipersetujui semua pihak seperti apa yang kami bincang dan usulkan sebelum ini," kata Ketua Menteri Sarawak itu.

Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula hanya mengesahkan yang beliau akan mempertahan kerusi DUN Kijal yang dimenanginya pada PRU 2008.

Sementara itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai senarai calon BN dan menyerahkan surat watikah pencalonan itu di kediaman rasminya pagi esok.

Presiden Parti Bersatu Sarawak Datuk Seri Peter Chin Fah Khui pula melahirkan rasa puas hatinya kerana mendapat tujuh kawasan yang dipohon parti itu untuk bertanding pada PRU kali ini, serta pencalonan tiga muka baharu anggota parti itu.

Chin bagaimanapun enggan mendedahkan nama dan kawasan yang bakal ditandingi mereka itu kerana akan mengumumkannya esok.

"Saya berharap dengan senarai ini, kami boleh memenangi semua kerusi yang kami tandingi. Saya juga percaya pengundi Cina akan kembali menyokong kami," katanya.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok pula berkata terdapat pertukaran kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu di Sabah dan penampilan beberapa muka baharu.

"Apa yang kami dapat ialah daripada apa yang kami bincangkan dan muktamadkan dengan perdana menteri. Kami gembira dan berpuas hati walaupun kami tidak diberikan kawasan baharu. Kami akan membuat pengumuman esok," katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata penampilan muka baharu menunjukkan perubahan yang dilakukan setiap parti untuk menarik perhatian pengundi muda, dan perkara itu turut dipraktikan oleh parti berkenaan.

"Kami menampilkan muka baharu dan berpengalaman kerana kami tahu pengundi muda makin ramai. Saya yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan dalam memilih wakil mereka untuk berkhidmat," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong mengesahkan akan mempertahan kerusi Parlimen Sandakan, dan parti itu memperoleh satu kerusi tambahan di DUN Likas.

"Kesemuanya lima kerusi, empat kerusi negeri dan satu kerusi parlimen. Saya gembira," katanya. - BERNAMA

Comments

Post a Comment

Popular Posts