TERDESAK UNTUK MENANG. PEMBANGKANG TAWAR HABUAN KEPADA BEKAS WAKIL RAKYAT: ZAHID HAMIDI

BAGAN DATOH, 15 April - Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan pakatan pembangkang menawarkan habuan kepada bekas wakil rakyat yang meninggalkan pakatan itu untuk menyertai mereka semula sebagai tindakan yang sangat terdesak.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datoh itu berkata pelbagai taktik kotor akan digunakan oleh pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13 ini bagi mencapai cita-cita untuk memerintah negara.

"Perbuatan itu sama seperti menjilat ludah sendiri untuk menggunakan semula pengaruh bekas wakil rakyat untuk menyokong mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Sungai Sumun di sini Isnin.

Beliau mengulas pendedahan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Zulkifli Nordin bahawa terdapat beberapa bekas pemimpin dan wakil rakyat yang keluar daripada pakatan pembangkang menerima ugutan dan ditawarkan habuan sekiranya mereka menyertai semula pakatan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, turut membidas pembangkang yang sering menuding jari kepada Umno sekiranya berlaku krisis dalaman yang membabitkan pemimpin mereka.

"Siapa lagi yang mereka nak salahkan. Mereka salahkan seteru atau musuh politik mereka sedangkan itu masalah dalaman mereka," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts