LAHAD DATU : LAGI 4 PENGGANAS KIRAM DIBICARAKAN

Empat lagi lelaki warga Filipina Khamis didakwa di Mahkamah Majistret Semporna dan Lahad Datu atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Di Mahkamah Majistret Semporna yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, tiga lelaki didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Al Wazir Osman @ Abdul, Tani Lahad Dahi dan Abd Hadi Mawan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnel.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Di Mahkamah Majistret Lahad Datu yang bersidang khas di IPD Lahad Datu pula seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Julham Rashid, 65, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Suluk.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Prosedur Jenayah bagi memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes berkenaan.

Mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sehingga hari ini, 19 warga Filipina dan seorang warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini.

Sebelum ini, lima belas warga Filipina dan seorang koperal polis telah didakwa terhadap pelbagai kesalahan iaitu lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.

Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.

Kes melibatkan 15 warga Filipina dan seorang anggota polis itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau esok

Sumber: Agendanews

Comments