KESELAMATAN SABAH TERJAMIN, ANCAMAN PENGGANAS DIHAPUSKAN
SEMPORNA: Keadaan di pantai timur Sabah dan negeri Sabah keseluruhannya adalah selamat dan kini bebas daripada ancaman militan dari selatan Filipina.
Jaminan keselamatan itu diberi oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
"Saya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ingin meyakinkan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa keselamatan di pantai timur Sabah dan seluruh negeri ini adalah terjamin dan ancaman yang kita hadapi itu telah kita hapuskan sepenuhnya.
"Kami sebagai pasukan keselamatan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keadaan itu berterusan sampai bila-bila," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai perkembangan keselamatan semasa di kawasan pantai timur Sabah kepada ketua-ketua dan pemimpin masyarakat Cina di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Zulkifeli berkata jumlah anggota tentera di Lahad Datu akan dikurangkan dan ditempatkan di kawasan lain seperti Semporna dan Sandakan secara beransur-ansur.
Beliau berkata anggota tentera yang dipindahkan itu akan tinggal di kem-kem tentera di kawasan mereka ditempatkan.
Mengenai Operasi Daulat yang akan ditamatkan dalam beberapa hari lagi, Zulkifeli berkata operasi itu akan ditransisikan kepada Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) secara berperingkat.
Beliau berkata pada masa ini pegawai-pegawai ESSCOM telah berada bersama-sama beliau di markas operasi di Felda Sahabat untuk memantau pelaksanaan operasi.
Sumber: BERNAMA
Comments
Post a Comment