PELAJAR WANITA BERUMUR 15 TAHUN ANTARA YANG DITAHAN BERHUBUNG KES DADAH

Petaling Jaya, 5 April - Enam individu termasuk dua wanita ditahan sementara sepucuk pistol bersama 631 gram dadah dianggarkan bernilai RM65,000 dirampas di Taman Medan di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis pada mulanya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, di dalam sebuah kereta di Taman Medan Baru pada pukul 10 malam Rabu lepas.

"Polis merampas satu paket plastik dipercayai dadah jenis heroin seberat 470 gram dan pistol jenama Ruger P85 MK II beserta kelongsong peluru yang berisi lima butir peluru hidup di tepi kotak gear dalam kereta itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata lelaki itu yang memiliki enam rekod jenayah melibatkan samun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Beliau berkata sejurus penahanan pertama, polis memberkas tiga lagi lelaki dan dua wanita tempatan, seorang daripadanya pelajar perempuan berumur 15 tahun di sebuah kedai yang dipercayai dijadikan lokasi pengedaran dadah di Taman Medan Baru.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 500 biji pil yang disyaki dadah jenis Eramin 5 seberat 150 gram dan 19 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat 11 gram," katanya.

Arjunaidi berkata siasatan masih dibuat untuk mengetahui sama ada pelajar yang ditahan itu terlibat dalam pengedaran dadah. Kesemua suspek direman mulai semalam hingga Isnin.

BERNAMA

Ps: dunia oh dunia. Inilah akibat individu kemaruk nak SEGERA KAYA. Walau perkara melanggar undang-undang.. tak takut bebenor. agaknya dah digari baru menyesal! Sayang semuanya sudah terlambat!

Comments

Popular Posts