HARI PENAMAAN CALON


APAKAH MAKSUD HARI PENAMAAN CALON?

Selepas Pegawai Pengurus menerima writ pilihan raya (surat kuasa untuk melaksanakan pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR) maka beliau akan mengeluarkan satu notis memaklumkan tarikh, tempat dan masa penamaan calon. Notis berkenaan biasanya dipamerkan di tempat-tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai seperti di perhentian-perhentian bas, Pejabat-pejabat Pos, Pejabat-pejabat Daerah, Majlis-majlis Perbandaran/Daerah, Balai-balai Raya dan sebagainya.


Penamaan Calon bolehlah diertikan sebagai suatu proses dalam tempoh masa yang bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi pada sesuatu hari yang ditetapkan dalam notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus bagi membolehkan seseorang calon, pencadang dan penyokong, kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka untuk menyerahkan Kertas Penamaan Calon kepada Pegawai Pengurus.

PENGISIAN BORANG PENAMAAN CALON

Untuk bertanding di sesuatu kerusi Dewan Rakyat, seseorang calon perlu mengisi Borang 4 dan 5 manakala untuk bertanding bagi sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri, seseorang calon perlu mengisi Borang 4A dan 5A.


PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIISI DI DALAM KERTAS PENAMAAN CALON
-MENGISI BORANG 4 & 5 (BAGI CALON KERUSI PARLIMEN) lihat borang di sini
-MENGISI BORANG 4A & 5A (BAGI CALON KERUSI D.U.N) lihat borang di sini


PUSAT PENAMAAN CALON

Seksyen 24A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan kawasan 50 meter daripada Pusat Penamaan Calon sebagai zon larangan pada Hari Penamaan Calon. Walau bagaimanapun, Sub Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 membenarkan calon, penyokong dan pencadangnya berada di Pusat Penamaan Calon.
 
Selain daripada itu, Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus, Petugas-Petugas Pilihan Raya, Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya serta Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan SPR yang bertugas sahaja dibenarkan untuk masuk ke Pusat Penamaan Calon. Mereka yang tidak berkenaan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan zon larangan 50 meter dari Pusat Penamaan Calon.


PENYERAHAN BORANG PENAMAAN CALON

Mengikut Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 seseorang calon hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon sama ada Borang 4 atau Borang 4A kepada Pegawai Pengurus di antara jam 9 hingga 10 pagi pada hari penamaan calon. Sub Peraturan 6 (2) peraturan yang sama juga menetapkan bahawa Kertas Penamaan Calon tersebut bolehlah diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau oleh salah dua orang dari mereka atau salah seorang daripada mereka kepada Pegawai Pengurus pada masa yang ditetapkan. Tempat penyerahan Kertas Penamaan Calon ini ialah di Pusat Penamaan Calon seperti mana yang dinyatakan oleh Pegawai Pengurus di dalam Notis yang telah beliau keluarkan.

Kertas Penamaan Calon iaitu Borang 4 atau Borang 4A, Borang Akuan Berkanun iaitu Borang 5 atau Borang 5A perlulah diserahkan kepada Pegawai Pengurus dari jam 9 pagi hingga 10 pagi pada hari yang telah ditetapkan sebagai Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon seperti yang dinyatakan di dalam notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus.


Kemudian, seseorang calon dikehendaki membayar deposit sebanyak RM10,000 jika hendak bertanding bagi sesuatu Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau RM5,000 jika beliau hendak bertanding bagi sesuatu Bahagian Pilihan Raya Negeri seperti yang ditetapkan di bawah Sub Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Jika calon telah pun membuat bayaran wang deposit yang ditetapkan sebelum hari penamaan calon kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri atau kepada Pegawai Pengurus, maka calon atau penyokong atau pencadang perlu mengemukakan resit deposit kepada Pegawai Pengurus.

PEMBETULAN KERTAS PENAMAAN CALON 

Sebaik sahaja seseorang bakal calon menyedari ada sesuatu kesilapan yang terdapat di dalam Borang 4 atau Borang 4A selepas beliau menyerahkan borang berkenaan kepada Pegawai Pengurus, maka bakal calon berkenaan boleh mendapat kebenaran daripada Pegawai Pengurus untuk membuat semakan dan membuat pembetulan yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, pembetulan tersebut hanya boleh dibuat sebelum jam 10.00 pagi di hadapan Pegawai Pengurus di dalam Pusat Penamaan Calon itu sahaja. Borang penamaan calon berkenaan sama sekali tidak boleh dibawa keluar daripada Pusat Penamaan Calon dalam tempoh tersebut.

Selain daripada pembetulan yang dibuat oleh bakal calon, pembetulan kepada Borang 4 atau Borang 4A boleh dibuat oleh pencadang atau penyokongnya sebelum jam 10.00 pagi di hadapan seseorang Pegawai Pengurus di mana berkaitan. 

Pegawai Pengurus juga boleh menyemak Kertas Penamaan Calon di antara jam 9.00 hingga 10.00 pagi dan seterusnya menasihatkan bakal calon atau wakilnya untuk membuat apa-apa pembetulan sekiranya ada kesilapan sama ada di dalam Borang 4 atau Borang 4A. Walau bagaimanapun, dalam konteks ini, Pegawai Pengurus sendiri sama sekali tidak dibenarkan membuat pindaan. Terpulanglah pada budi bicara calon atau wakilnya sama ada untuk membuat pindaan ke atas kesilapan yang berlaku ataupun sebaliknya. Walau bagaimanapun, apa-apa pembetulan di dalam Borang 4 atau 4A tidak boleh dibuat selepas jam 10.00 pagi pada hari penamaan calon.


KETELUSAN URUSAN PENAMAAN CALON

Pada umumnya terdapat dua belas peringkat ketelusan dalam urusan penamaan calon seperti berikut:


Ketelusan Pertama: Mana-Mana Pihak Bebas Membeli Kertas Penamaan Calon Dan Menjadi Calon 

Mana-mana orang yang berhasrat untuk menjadi calon, sama ada mewakili parti politik atau calon bebas, bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen boleh membeli Borang 4 dan 5 dan mana-mana orang yang berhasrat untuk menjadi calon bagi bahagian pilihan raya negeri boleh membeli Borang 4A dan Borang 5A daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri ataupun Pejabat Pegawai Pengurus tanpa ada sekatan atau batasan. Walau bagaimanapun, seseorang bakal calon itu perlu membayar sebanyak RM 20.00 bagi setiap set Kertas Penamaan Calon.


Ketelusan Kedua: Pemakluman Tarikh, Masa dan Tempat Calon Dibuat Secara Terbuka dan Telus
Selepas mengeluarkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan suatu notis bagi menyatakan dengan jelas mengenai tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi satu-satu bahagian pilihan raya sama ada Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau Bahagian Pilihan Raya Negeri. Bagi menentukan keluasan liputan pemakluman notis tersebut, notis berkenaan akan disiarkan di dalam warta.

Selain daripada itu, Pegawai Pengurus pula akan mengeluarkan notis menyatakan dengan jelas mengenai tarikh, masa dan tempat di mana urusan penamaan calon bagi sesuatu bahagian pilihan raya akan diadakan. Lazimnya notis itu akan dipamerkan di tempat-tempat awam di dalam bahagian pilihan raya berkenaan seperti Perhentian Bas, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran atau Daerah, Pejabat Pos dan sebagainya untuk makluman orang awam. Ini bermakna kedua-dua institusi iaitu SPR dan Pegawai Pengurus memberi maklumat yang secukupnya kepada orang ramai dan bakal-bakal calon mengenai tarikh penamaan calon. Malahan notis tersebut juga memberi peluang yang secukupnya kepada bakal-bakal calon untuk mereka mengisi Kertas Penamaan Calon dan menyerahkannya kepada Pegawai Pengurus pada tarikh dan masa di tempat penamaan calon seperti mana yang ditetapkan dalam notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus itu. Dalam konteks ini, penamaan calon lazimnya diadakan tidak kurang daripada 4 hari daripada tarikh notis dikeluarkan dan diwartakan.


Ketelusan Ketiga: Membuat Perisytiharan Terbuka Tentang Wujudnya Pertandingan Di Dalam Sesuatu Bahagian Pilihan Raya Ataupun Sebaliknya

Pegawai Pengurus akan membuat pengumuman di khalayak ramai untuk memaklumkan sama ada wujud pertandingan bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu ataupun sebaliknya. Dalam membuat pengumuman tersebut, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon dan parti yang diwakilinya dan juga nama calon-calon bebas jika ada. Dengan ini, semua yang hadir akan mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai calon yang bertanding di dalam bahagian pilihan raya berkenaan.


Ketelusan Keempat: Pemilihan Simbol Calon Yang Hendak Bertanding Dibuat Secara Demokratik

Kerangka undang-undang pilihan raya menetapkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding dalam satu-satu bahagian pilihan raya hendaklah menggunakan simbol sebagai lambang pengenalan diri untuk memudahkan pengundi-pengundi membuat pilihan semasa mengundi di hari pengundian. Bagi seseorang calon yang mewakili sebuah parti politik, Perenggan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menetapkan bahawa calon berkenaan hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti politik yang telah ditandatangani oleh Ketua Parti Politik berkenaan kepada Pegawai Pengurus. 

Bagi calon bebas pula, Perenggan 11(2)(b) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menetapkan bahawa mereka hendaklah memilih salah satu daripada simbol calon bebas yang telah disediakan oleh SPR. Jika terdapat dua (2) orang calon bebas yang menghendakki simbol yang sama, maka Pegawai Pengurus akan membuat cabutan undi bagi menentukan calon manakah yang berjaya mendapat simbol yang menjadi idaman dan rebutan kedua-dua orang calon bebas tersebut. Proses pengundian ini dibuat secara telus dan terbuka.


Ketelusan Kelima: Penyenaraian Susunan Nama Calon Yang Hendak Dicetak Di Dalam Kertas Undi Dibuat Secara Undian Terbuka dan Telus

Jika terdapat dua (2) atau lebih orang calon yang akan bertanding bagi satu-satu bahagian pilihan raya, Pegawai Pengurus akan membuat cabutan undi untuk menentukan calon yang manakah yang akan disenaraikan dalam susunan teratas hinggalah ke bawah di dalam kertas undi. Tindakan yang dibuat secara undian ini jelas menggambarkan bahawa penentuan susunan nama calon yang hendak dicetak di atas kertas undi dibuat dengan adil dan saksama serta memberi peluang yang sama rata kepada mana-mana calon yang mewakili sesebuah parti politik ataupun calon bebas untuk disenaraikan di atas sekali dalam senarai susunan nama yang hendak dicetak di dalam kertas undi.


Ketelusan Keenam: Penyerahan Daftar Pemilih Terkini Dibuat Secara Terbuka Tanpa Ada Pilih Kasih

Pegawai Pengurus akan menyerahkan satu set daftar pemilih terkini bagi bahagian pilihan raya yang dipertandingkan kepada setiap orang calon yang bertanding tidak kira sama ada calon berkenaan mewakili sesebuah parti politik ataupun beliau merupakan seorang calon bebas. Daftar pemilih tersebut juga merupakan daftar pemilih yang diguna pakai oleh Pegawai Pengurus semasa hari penamaan calon. Dengan cara ini tidak ada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikan lagi bahawa terdapat perbezaan di antara daftar pemilih yang telah digunakan oleh Pegawai Pengurus dengan daftar pemilih yang telah diserahkan kepada setiap orang calon yang bertanding untuk digunakan pada hari mengundi.


Ketelusan Ketujuh: Mewar-warkan Pertandingan Dengan Menyiarkan Notis Pengundian Di Dalam Warta
Selepas tamat urusan penamaan calon Pengarah Pilihan Raya Negeri melalui Ibu Pejabat SPR akan menyiarkan satu notis di dalam Borang 8 yang menyatakan perkara-perkara penting seperti yang berikut:


(i) Tarikh bila pengundian akan diadakan;
(ii) Nama Calon dan simbol;
(iii) Nama pencadang dan penyokong;
(iv) Kedudukan pusat-pusat pengundian dan Nombor Tempat Mengundi (saluran) mengundi; dan
(v) Waktu mengundi atau pusat-pusat mengundi dibuka dan ditutup.


Notis di dalam Borang 8 (Notis Pilihan Raya Yang Dipertandingkan) akan disiarkan dalam warta dan pada masa yang sama disediakan dalam bentuk poster untuk ditampalkan di Pusat-Pusat Mengundi. Dengan cara ini, ia memberi peluang yang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting berhubung dengan tarikh, masa dan pusat-pusat pengundian serta calon-calon yang bertanding bagi sesuatu bahagian pilihan raya.

Ketelusan Kelapan: Peluang Terbuka Untuk Mencabar Keputusan Pegawai Pengurus Menerima Atau Menolak Kertas Penamaan Calon Di Mahkamah

Pada dasarnya kerangka undang-undang pilihan raya menetapkan bahawa keputusan yang dibuat oleh seseorang Pegawai Pengurus untuk menerima ataupun menolak sesuatu Kertas Penamaan Calon adalah muktamad dan konklusif. Namun begitu, kerangka undang-undang juga memberi peluang kepada mana-mana pihak iaitu calon atau mana-mana pemilih berdaftar di bahagian pilihan raya berkenaan yang terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pegawai Pengurus untuk memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan tersebut tanpa ada apa-apa perasaan takut berdasarkan peruntukan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan. Keadaan ini jelas membuktikan ketelusan dan keadilan yang ada dalam sistem pilihan raya di negara ini.


Comments

Popular Posts