WUJID KOMPLOT GULINGKAN KERAJAAN TANPA MELALUI PROSES DEMOKRATIK: AHMAD ZAHID


KUALA LUMPUR:  Putrajaya hari ini mengesahkan wujud komplot untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan sedia ada yang diterajui Barisan Nasional (BN).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan melihat secara serius ancaman itu yang boleh mengganggu gugat ekonomi negara sekiranya dibiarkan ia berlaku.

Namun buktinya belum dapat didedahkan atas alasan keselamatan.

"Kerajaan telah mengesan aktiviti untuk menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokratik.

"Bagaimanapun kewujudan aktiviti terbabit tidak dapat didedahkan atas alasan keselamatan dan pihak polis sedang mengumpulkan maklumat mengenainya," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam jawapan balas bertulisnya kepada soalan oleh ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi hari ini.

Nasrudin bertanya di manakah bukti terhadap dakwaan terdapat perancangan untuk menggulingkan kerajaan.

Zahid ketika  berucap merasmikan mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Ampang Ogos lalu berkata ada 'tokoh tertentu' dari kalangan parti pemerintah yang ingin menggulingkan kerajaan.

Namun beliau enggan mendedahkan pihak yang terbabit. -ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts