ELAK LABEL 'PENDATANG' KEPADA MASYARAKAT INDIA: NAJIB


KULIM:  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa pihak-pihak tertentu jangan melabelkan masyarakat India yang telah banyak menyumbang kepada negara ini sebagai 'pendatang'.


"Janganlah gelar mereka pendatang. Jika kita gelar pendatang kita tidak anggap saudara kita itu mempunyai kewarganegaraan, sedangkan mereka berhak," kata Perdana Menteri.

Katanya, semua pihak perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan sensitif yang menjejas sensitiviti kaum di negara ini.

Beliau berkata, jika semua pihak memelihara sensitiviti kaum, Malaysia mampu muncul sebagai negara "Sinar Harapan" dalam kalangan negara membangun.

"Kita perlu menjaga perasaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, jangan sebut perkataan yang sensitif kepada mereka hanya kerana ingin menyakiti (hati) mereka.

Perdana Menteri menegaskan demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Deepavali 2015 di Dataran Kulim di sini malam Rabu.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Najib berkata ia juga sama dengan masyarakat beragama Islam dan meminta semua pihak tidak menyebut perkataan-perkataan sensitif yang boleh mengugat sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Jikalau generasi ketika ini berpegang kepada asas-asas yang telah digariskan oleh pengasas negara sebagaimana mengikut kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan, maka Malaysia akan berjaya, katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa persengketaan kaum dan agama bukan sahaja berlaku di negara membangun tetapi juga di negara maju termasuk di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Perdana Menteri juga menyentuh tentang MIC dan berkata dengan pemilihan barisan kepimpinan yang baharu parti itu diharap dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada masyarakat India di negara ini.

Barisan kepimpinan baharu MIC di bawah Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan dibaratkan sebagai nafas baharu dalam perjuangan untuk memartabatkan kedudukan masyarakat India negara ini, katanya.

Masyarakat India negara ini katanya, telah membangun dengan pesat menerusi amalan dasar-dasar yang adil, saksama dan inklusif yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN).

Najib juga berkata Perdana Menteri India Narendra Modi akan melawat Malaysia tidak lama lagi dan berharap pemimpin negara India itu akan melihat   bagaimana masyarakat India negara ini walaupun hanya 7.5 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini memainkan peranan penting di Malaysia.

Majlis itu turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati.- BERNAMA

Comments

Popular Posts