PAS TIDAK AKAN SERTAI USUL TOLAK BAJET 2016: ABDUL HADI


KUALA LUMPUR:  PAS akan mengambil langkah berkecuali serta tidak akan menyokong usul penolakan Bajet 2016, lapor Sinar Harian pada Ahad.

Menurut presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kesem
ua Ahli Parlimen PAS juga telah sebulat suara bersetuju untuk tidak menyertai usul itu.

"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi membangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

"Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016," kata Abdul Hadi seperti yang dipetik Sinar Harian.

Beliau mengulas tentang saranan anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, baru-baru ini yang meminta kesemua wakil rakyat pembangkang menolak usul Bajet 2016.

Katanya PAS kini berpaksi kepada perjuangan bagi mengubah dasar kerajaan, dan bersedia menjadi penasihat serta pembantu sekiranya UMNO mengubah dasar pemerintahannya.

"Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu 'ambil alih' pemerintahan.

"Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi, turut mengakui bersetuju secara dasarnya dengan bantuan-bantuan yang diberi kerajaan terhadap rakyat.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak bersetuju dengan cara pelaksanaan dan pengurusan bantuan tersebut kerana dilihat "berlaku banyak kepincangan".

"Setuju dengan UMNO bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana PAS lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan UMNO.

Selain itu, beliau memaklumkan PAS juga menghantar pasukan untuk berbincang dengan UMNO mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan dan kejatuhan nilai ringgit, sebagai langkah untuk memperbetulkan kerajaan.

Bajet 2016 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 23 Oktober lalu.-ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts