NAJIB PUAS HATI PERKEMBANGAN SEMASA PROJEK MRT


KUALA LUMPUR:  Bangga dan berpuas hati dengan perkembangan semasa projek Mass Rapid Transit (MRT), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin jajaran pertama projek itu dapat beroperasi menjelang akhir tahun depan seperti yang dijadualkan.


"Saya melihat apa yang kita rancangkan selama ini, hari ini telah menjadi kenyataan, maka sasaran kita supaya MRT Line pertama dapat beroperasi akhir tahun hadapan akan dapat dipenuhi," katanya kepada pemberita semasa melawat depot tren MRT di Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Menurutnya MRT kini memiliki 19 buah tren dan akan menerima 35 buah tren lagi menjelang pertengahan tahun depan.

Dalam pada itu, Najib berkata projek pembinaan MRT itu membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan disertai syarikat-syarikat tempatan, sekali gus menunjukkan adanya elemen pemindahan teknologi.

"Kita dapat lihat peluang pekerjaan untuk ramai anak Malaysia yang mempunyai kelulusan dan pengalaman, dengan mereka dilibatkan dalam pembangunan MRT merupakan pengalaman yang cukup berharga (buat mereka)," katanya.

Terdahulu, Najib tiba pada 5.25 petang untuk melawat depot MRT Sungai Buloh yang dibina oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sejak Julai 2011.

Ia merupakan lawatan pertamanya ke depot berkenaan dan lawatan keempat beliau ke projek MRT Lembah Klang (KVMRT). Sebelum ini, beliau pernah melawat Syaf Pelancaran Cochrane sebanyak dua kali dan Stesen MRT Tun Razak Exchange sekali.

Pada lawatan kali ini, perdana menteri dibawa ke Bengkel Penyelenggaraan  Stok Keretapi untuk melihat tren MRT yang siap dipasang sepenuhnya dan diuji.

Sepanjang lawatan itu, Najib turut mendengar penerangan dan taklimat Pengarah Projek MRT Corp bagi laluan Sungai Buloh-Kajang, Marcus Karakashian.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang juga pengerusi MRT Corp, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar, pengurusan tertinggi MRT serta wakil-wakil pelaksana projek iaitu MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd, Siemens dan SMH Rail Sdn Bhd.

Sementara itu, MRT Corp menyatakan Depot MRT Sungai Buloh bakal menjadi depot tren terbesar di Asia Tenggara.

Ia juga bakal menjadi depot tren bagi kedua-dua jajaran iaitu MRT Sungai Buloh-Kajang dan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Buloh, kata MRT Corp dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu sehingga 30 Sept lepas, tahap kemajuan keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang atau SBK ialah 72.25 peratus.

Operasi pertama bagi laluan SBK antara Sungai Buloh dan Stesen Semantan akan bermula pada Disember 2016 manakala operasi fasa kedua dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang bermula pada Julai 2017.- BERNAMA

Comments

Popular Posts