Followers

NURUL IZZAJ DIRUJUK KEPADA JAWATANKUASA HAK DAN KEISTIMEWAAN PARLIMEM


KUALA LUMPUR:  Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung pertemuan beliau dengan anak perempuan kepada penceroboh Sabah, Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Usul untuk merujuk Nurul Izzah itu tersenarai dalam aturan mesyuarat di sidang Parlimen hari ini dan akan dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk membentangkan usul di bawah Perintah Tetap 27(3) dan 80 untuk merujuk naib presiden PKR itu kepada jawatankuasa berkenaan.

"Perincian usul tersebut telah menyatakan bahawa pertemuan tersebut telah dilihat bertentangan dengan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan sumpah setia Nurul Izzah kepada Malaysia.

"Tindakan Naib Presiden PKR itu dianggap suatu penghinaan kepada Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan imej Dewan Rakyat," katanya di Parlimen.

Azalina berkata, keputusan itu akan memberi peluang kepada Nurul Izzah untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu berhubung pertemuannya dengan Jacel.

Menurutnya, gambar Nurul Izzah bersama seorang anggota keluarga diraja Sulu terkenal itu yang bertanggungjawab dalam pencerobohan ke atas Lahad Datu merupakan "isyarat yang nyata terhadap ketidaksetiaan kepada negara".

Beliau berkata teras kepada perkara ini adalah Nurul Izzah gagal menjawab dengan jelas persoalan yang dibangkitkan berhubung pertemuannya dengan Jacel.

"Berikutan wujudnya tingkah laku kurang baik oleh Anggota Parlimen tertentu, kod perilaku atau lebih tepat lagi, kod etika perilaku, perlu menjadi keutamaan memandangkan ia bertujuan mengawal selia anggota Parlimen kita, terutamanya dalam mengadakan pertemuan dengan kumpulan dari luar negara," kata Azalina.

Beliau berkata meskipun Nurul Izzah cuba memohon maaf, sebagai anggota Parlimen, perilaku beliau itu tidak boleh diterima.

Ini, katanya, bertentangan dengan sumpah yang diikrarkan beliau yang berjanji untuk melindungi negara dan mendukung Perlembagaan, oleh itu bermaksud beliau menyedari sepenuhnya tanggungjawabnya, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan kedaulatan negara.

"Tidak akan ada kompromi di sini ataupun tolak ansur terhadap apa jua percubaan oleh mana-mana anggota Parlimen untuk melanggari sumpah mereka kepada dewan yang mulia ini," katanya.

Jacel memuat naik empat gambar pertemuannya dengan Nurul Izzah pada 9 Nov, dalam akaun Facebook beliau.- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment