DEBAT 1MDB DIVADANGKAN JUMAAT INI, KATA SALLEH SAID KERUAK


SERDANG:  Debat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dicadangkan diadakan di Studio 1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa penonton Jumaat ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Katanya RTM mencadangkan debat antara Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua berlangsung selama sejam bermula 9 malam dan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen itu.
RTM selaku penyiar akan menghubungi kedua-dua pihak bagi mendapat  persetujuan mereka berhubung syor berkenaan, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

"Debat ini perlu disegerakan kerana ia telah menjadi bualan masyarakat dan yakin akan dapat dilangsungkan secara profesional, berfakta dalam suasana yang kondusif," katanya, sambil menambah ia akan dikendalikan seorang moderator dari RTM yang akan diputuskan kelak.

Salleh berkata debat tanpa penonton akan membolehkan perbahasan dijalankan dalam suasana kondusif serta mengelak sentimen politik agar masyarakat dapat menilai sendiri maklumat yang diutarakan kedua-dua pihak.

"Walaupun tanpa kehadiran penonton saya memberi jaminan debat itu akan disiarkan secara langsung tanpa diedit," katanya.

Salleh berkata pihaknya akan menyediakan garis panduan yang perlu dipersetujui kedua-dua pihak agar tidak membangkitkan maklumat yang belum boleh dihebahkan kepada pengetahuan umum memandangkan terdapat maklumat berkaitan 1MDB yang masih dalam siasatan PAC.

Sabtu lepas, Arul Kanda menyatakan kesediaan bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat selepas dicabar Pua agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung.

Dalam pada itu, Salleh berkata RTM akan menyiarkan sebuah rancangan baharu iaitu 'Demokrasi: Mengurus Perbezaan', satu rancangan yang akan menyediakan platform bagi membahaskan sesuatu isu secara terbuka.

Rancangan yang akan bersiaran sebulan sekali itu bermatlamat mendidik rakyat mengenai soal demokrasi selain landasan membincangkan sesuatu perkara secara matang dan berfakta, katanya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts