DEBAT 1MDB: SPEAKER TIADA KUASA HALANG ARUL KANDA- PANDIKAR AMIN


KUALA LUMPUR:  Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat mengenai syarikat tersebut.


Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata demikian selepas ditanya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sama ada boleh atau tidak Ahli Parlimen lain berdebat dengan Arul Kanda dalam sidang parlimen hari ini.

"Sebagai Speaker Dewan Rakyat, saya tidak punyai kuasa untuk arah individu di luar Dewan Rakyat," kata Pandikar.

Mengenai debat 1MDB, Pandikar berkata beliau tidak pernah menghalangnya daripada berlaku cuma ia wajar dilakukan selepas penyata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikeluarkan.

"Saya tidak menghalang perbahasan, cuma saya kata ia boleh dibuat selepas penyata laporan siap," jelas Pandikar.

Tambah Pandikar, beliau tidak akan berganjak dari pendirian yang telah dibuatnya.

Selepas diberi penjelasan, Tony berkata beliau akur kepada keputusan Speaker namun meminta penjelasan lanjutan sama ada beliau boleh membuat kenyataan berkenaan 1MDB di luar Dewan Rakyat.

Pandikar hanya menjawab Tony tidak dibenarkan membuat kenyataan berdasarkan maklumat yang diperolehi ketika mesyuarat PAC.

Ia bagi memastikan kredibiliti PAC tidak terjejas.

Tony sebelum ini mencabar Arul Kanda untuk berdebat mengenai isu 1MDB secara langsung di televisyen.

Cabaran itu disahut Arul Kanda yang pada awalnya menetapkan syarat bahawa Tony perlu melepaskan jawatannya di dalam PAC.

Bagaimanapun, Arul Kanda kemudiannya menarik balik syarat berkenaan dan bersedia berdebat dengan Tony secara langsung.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak semalam, menetapkan Jumaat ini untuk program debat berkenaan yang dibuat secara langsung di Studio Satu Angkasapuri tanpa kehadiran penonton.

Pandikar dalam sidang Dewan Rakyat semalam bagaimanapun bertegas mahu debat itu dibatalkan atas alasan Tony selaku ahli PAC tidak boleh mengeluarkan kenyataan di khalayak memandangkan isu 1MDB masih dalam siasatan.
Ujarnya, Arul Kanda juga tidak lagi layak menjadi saksi dalam siasatan kes berkenaan.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts