Followers

'LANGKAH PROAKTIF SELAMAT NEGARA DARI KRISIS EKONOMI DUNIA': NAJIB


PUTRAJAYA:  Langkah proaktif Kerajaan dalam menangani krisis ekonomi dunia memberi kesan positif dan mengurangkan beban yang ditanggung penjawat awam sendiri.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia terbukti dengan pelbagai insentif khas kepada kumpulan berkenaan seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini.

"Pelbagai faktor luaran dan dalaman dapat ditangani Kerajaan untuk memastikan penjawat awam tidak terbeban walaupun dunia berhadapan krisis ekonomi.

"Kita tidak kurangkan perbelanjaan namun kita mampu mengawal kemampuan kita dalam perbelanjaan," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putrajaya di sini hari ini.

Kata Najib, penjawat awam sendiri perlu melihat perbezaan tindakan yang dibuat Kerajaan dalam menangani krisis ekonomi tidak seperti kemelut sama pada 1997.

"Pada Bajet 2015 baru-baru ini saya umumkan penetapan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada RM1200 sebulan, menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406,000 penjawat awam serta pelbagai lagi termasuk kepada pekerja kontrak.

"Kita berjaya kerana pertimbangan tepat selepas pengenalan langkah rasionalisasi subsidi selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dipulangkan balik faedahnya kepada rakyat," jelasnya.

Najib turut menggariskan semula lima tunjang Bajet 2016 yang mahu memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda Bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Pada perhimpunan bulanan sebelum ini, Najib mahu penjawat awam bersama-sama dengan Kabinet memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan serta mengatasi situasi 'defisit keyakinan' yang disebutkan sesetengah pihak.

Najib juga mahu penjawat awam tidak hilang arah dan fokus kerana terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment