Followers

BERSIH 4.0: MARIA CHIN DIDAKWA


KUALA LUMPUR:  Penganjur Perhimpunan Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis berhubung penganjuran perhimpunan itu pada Ogos lepas.


Maria, 59, yang juga Pengerusi Perhimpunan Bersih 2.0, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Sebagai penganjur, beliau didakwa gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis Daerah Brickfields, di sini 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan itu di hadapan kompleks beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini antara 2 petang hingga 3 petang, 29 Ogos lepas, yang melanggar Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Honey Tan Lay Ean, yang mewakili Maria sebagai orang kena saman, memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama dan tidak akan melarikan diri kerana bekerja di negara ini.

Hakim Mat Ghani membenarkan Maria diikat jamin RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment