MALAYSIA MODEL PERPADUAN JAGA HAK MASYARAKAT MAJMUK SECARA SEIMBANG: ZAHID


KUALA LUMPUR:  Malaysia adalah sebuah negara model perpaduan yang berjaya menjaga hak masyarakat majmuknya secara seimbang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Timbalan Perdana Menteri menegaskan keseimbangan itu dapat disaksikan dengan kebebasan hak kaum lain untuk mengamal agama dan budaya mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kaum minoriti tidak perlu berasa terancam ataupun takut akan kehilangan identiti mereka.

"Sempena Deepavali 2015 ini, marilah sama-sama kita merapatkan barisan dan perpaduan antara kaum yang menjadi tulang belakang pembangunan negara," katanya dalam perutusan Deepavali pada Isnin.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai sandaran semata-mata, yang akhirnya merenggangkan hubungan antara kaum di negara ini.

Ahmad Zahid berkata rakyat Malaysia harus percaya perbezaan pelbagai kaum, agama dan bahasa telah menjadikan mereka masyarakat yang kaya dengan budaya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perbezaan itulah menjadi satu faktor penyatuan dalam sebuah Bangsa Malaysia 'unity in diversity' (perpaduan menerusi kepelbagaian).- BERNAMA

Comments

Popular Posts