MALAYSIA TIDAK PANDANG RINGAN ANCAMAN PENGGANAS TERMASUK MILITAN IS: HISHAMUDDIN


KUALA LUMPUR:  "Kalau mereka hendak cuba mengugut dan menakutkan pemimpin negara, ia tidak akan berjaya.'

Itu amaran Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada kumpulan pengganas yang cuba untuk mengancam keselamatan negara.

Hishammuddin memberi jaminan, tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan, takut mahupun tunduk kepada ancaman pengganas termasuk militan IS.

"Kita tidak takut atau tunduk kepada mereka (pengganas). Kalau kita benarkan mereka bermaharajalela, akhirnya kita terpaksa berdepan dengan suatu situasi di mana mereka menguasai keadaan dan ini kita tidak boleh benarkan.

"Bagi saya kalau mereka nak cuba ugut dan hendak menakutkan pemimpin negara, ia tidak akan berjaya," tegas Hishammuddin di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Hishammuddin, iltizam dan semangat kerajaan untuk menentang ancaman pengganas di tahap tinggi.

"Mereka tidak akan berjaya kerana iltizam dan semangat kita untuk berdepan dengan kumpulan pengganas ini, walaupun fenomena baru, walaupun pendekatan mereka berbeda daripada dulu.

"Bila kita berdepan dengan Al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI), Mat Selamat dan Nordin Mat Top ia tidak ada beza. Bila kita menentang mereka (bermakna) kita menentang mereka kerana mereka merupakan risiko kepada keselamatan dan pertahanan negara dan itu pegangan kita dalam apa juga keadaan," tegas Hishammuddin.

Ditanya mengapa pemimpin Malaysia turut menjadi ancaman militan IS, jawab Hishammuddin kerajaan telah mengambil pendekatan yang amat tegas dalam menentang militan tersebut.

"Kita telah mendapat persetujuan 10 negara ASEAN untuk menentang mereka. Kita merupakan negara Islam yang sederhana. Apa sahaja yang menentang militan IS, itu yang Malaysia bersetuju," katanya.

Menurutnya, telah tiba masa untuk semua pihak mengambil tindakan segera dan tidak memandang ringan ancaman dibuat pengganas.

Hishammuddin bagaimanapun, enggan mendedahkan nama-nama pemimpin negara yang menerima ancaman pengganas.

Semalam, Hishammuddin mengesahkan ada pemimpin negara ini menerima ancaman pengganas termasuk dirinya.

"(Mengenai) ancaman dan juga ugutan itu saya mengesahkan (ia berlaku) terhadap pemimpin-pemimpin negara ini. Ia merupakan sesuatu yang telah dilaporkan kepada saya tempoh hari dan telahpun dimaklumkan kepada orang ramai.

"Ini bermakna bahawa keselamatan negara, pemimpin, dan serantau dalam konteks ancaman tidak boleh diambil mudah kerana sesiapa sahaja boleh menjadi individu yang membawa huru-hara. Tengoklah apa yang berlaku pada Perancis hari ini," kata beliau.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts